Tiada undang-undang syariah mak nyah di media sosial

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM - Tidak ada peruntukan khas undang-undang jenayah syariah berhubung kesalahan lelaki yang berkelakuan seperti wanita atau mak nyah di media sosial.

Peguam Syarie, Syafiqah Abdul Razak berkata, undang-undang memperuntukkan kesalahan lelaki berpakaian dan berlagak seperti perempuan apabila memenuhi dua syarat iaitu di tempat awam dan bertujuan tidak bermoral.

Iklan
Iklan

Menurutnya, merujuk Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, kelakuan berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"Jika ada individu yang kurang sopan di media sosial boleh didakwa mengikut Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan

"Peruntukan itu boleh digunakan untuk tindakan ke atas perkhidmatan aplikasi kandungan atau individu yang menggunakan perkhidmatan itu bagi tujuan aktiviti sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang memberitahu undang-undang syariah di negara ini masih lemah kerana sukar mengenakan tindakan terhadap lelaki yang bebas berkelakuan seperti wanita atau mak nyah di media sosial.

Sementara itu, seorang lagi Peguam Syarie, Fadhlina Sidek berkata, undang-undang sedia ada dalam Enakmen atau Akta Jenayah membabitkan kesalahan moral.

"Dalam peruntukan undang-undang, tiada perkataan mak nyah, sebaliknya Kesalahan Lelaki Berpakaian Wanita di tempat awam dengan tujuan tidak bermoral,” katanya.

Jelasnya, jika hendak menambah peruntukan lain, perlu meminda undang-undang dan Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Islam (pindaan) serta dibahaskan dalam Parlimen.

"Selagi tiada pindaan, undang-undang sedia ada sudah mencukupi termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati content di media sosial itu lucah atau jelek,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak nyah bebas di media sosial