PdPR kaedah terbaik ketika Covid-19

Iklan
Ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Galing beratur untuk membeli buku anak masing-masing bagi mengikuti PdPR mulai hari ini selepas pembelajaran secara bersemuka di sekolah ditangguhkan.

SHAH ALAM - Semua pihak perlu positif dan memberikan kerjasama terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan bermula Rabu ini yang dilihat sebagai kaedah terbaik ketika penularan Covid-19 masih belum reda.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, ramai yang mengkritik PdPR kerana membandingkan kesan proses pembelajaran kaedah itu dengan kaedah pembelajaran bersemuka di sekolah.

Iklan
Iklan

"Namun, pada ketika penularan Covid-19 ini, kita tidak ada pilihan lain. Mahu atau tidak, PdPR adalah pilihan yang terbaik walaupun impak PdPR tidak sama dengan pembelajaran bersemuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Aminuddin berkata, berdasarkan pengalaman pelaksanaan PdPR sebelum ini, terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.

Iklan

"Dalam hal ini, guru-guru memulakan PdPR dalam keadaan serba kekurangan, kurang berkemahiran dan rujukan untuk panduan dalam keadaan murid tidak bersedia pada tahun 2020,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkeyakinan pada tahun 2021, pelaksanaan PdPR akan bertambah baik berikutan pengalaman guru-guru pada tahun lepas yang boleh dijadikan pengajaran.

Iklan

"Mereka mengumpul ilmu yang sangat berguna yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam menguruskan PdPR pada tahun ini,” katanya.

Aminuddin berkata, guru-guru telah menguasai Panduan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah mengenai PdPR yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Manual yang dikeluarkan oleh KPM menjadi pegangan guru kerana mempunyai pelbagai panduan meliputi murid-murid daripada pelbagai kategori. Contohnya, murid yang ada kesediaan dari segi capaian internet dan kemudahan peranti, guru akan menggunakan pengajaran secara langsung dan real time.

"Jika murid-murid tidak ada capaian itu (capaian internet dan kemudahan peranti), dalam panduan manual itu memaklumkan guru boleh juga membuat pengajaran secara offline. Bagaimanapun, kita sedar kesan pengajaran secara offline kurang berbanding pengajaran secara dalam talian, langsung dengan guru mengajar di hadapan laptop dan peranti sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, itu sahaja pilihan yang ada dan apa yang penting semua pihak jangan mengkritik tetapi sebaliknya memberikan sokongan kepada guru-guru dan murid.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, PdPR pada ketika ini sangat perlu dan dikehendaki memandangkan kenaikan mendadak kes Covid-19 hingga melebihi 4,000 kes sehari.

"Saya mencadangkan KPM mewujudkan pusat rujukan PdPR di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebagai puat sehenti untuk menangani apa-apa masalah berkaitan PdPR.

"Saya juga mencadangkan seorang pegawai khas (person in charge) dilantik sebagai koordinator dan perancang untuk PdPR dimanfaatkan secara berterusan, walaupun selepas pandemik nanti,” katanya.

Tambah Mohamad Ali, spot check terhadap pelaksanaan PdPR perlu dilakukan secara berkala dan mengejut.

"Kaedah PdPR masih diperlukan walaupun selepas pandemik.

"Insentif-insentif kepada guru, ibu bapa dan penjaga perlu dilaksanakan seperti potongan cukai membeli peranti yang berkaitan, penghargaan kreativiti terbaik PdPR dan lawatan benchmarking pegawai pelajaran dan lain-lain,” katanya.

Katanya, secara relatifnya, pendekatan PdPR adalah baharu di Malaysia namun boleh diperkukuhkan dengan komitmen semua pihak.