JDT belasah Kuala Lumpur

Iklan
Juara Piala Sumbangsih 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan bergaya selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Larkin di sini sebentar tadi.

JUARA Piala Sumbangsih 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan bergaya selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Larkin di sini sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah sebelum itu berdepan tentangan hebat daripada skuad bimbingan Yusri Che Lah yang bermain dengan baik mengekang asakan dan serangan JDT.

Iklan
Iklan

Kesilapan pemain Kuala Lumpur mengasari Safawi Rasid di dalam kotak penalti ketika permainan memasuki masa tambahan separuh masa pertama membawa padah apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti.

Pemain sayap import JDT, Gonzalo Cabrera mudah menyempurnakan penalti tersebut menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Sharbinee Allawee.

Iklan

Bermula separuh masa kedua, JDT menggandakan asakan dan berjaya meraih gol kedua menerusi Syafiq Ahmad selepas menerima hantaran silang Corbin Ong pada minit ke-52.

Gol ketiga JDT dijaringkan oleh pemain import gantian, Diogo Luis Santo yang masuk menggantikan Aaron Niguez pada minit ke-58 hasil sepakan sudut yang dilakukan oleh Safawi.

Iklan

Kuala Lumpur berjaya meraih gol pada minit ke-77 menerusi percubaan solo Sylvano Dominique Comvalius yang melepaskan rembatan kencang dan gagal diselamatkan Mohd Farizal Marlias.

Bagaimanapun JDT kemudiannya menambah derita pasukan pelawat apabila menambah jaringan keempat menerusi Azrif Nashrulhaq pada minit ke-89.