Lebih 2,000 pelarian Rohingya hilang tempat tinggal

Iklan
Beberapa pelarian Rohingya mencari barang milik mereka yang mungkin terselamat dalam kebakaran di kem pelarian Nayapara di Teknaf pada Khamis. - Foto AFP

COX'S BAZAR - Lebih 2,000 pelarian Rohingya di sebuah kem di Bangladesh tinggal sehelai sepinggang pada Khamis selepas lebih 500 pondok musnah dijilat api.

Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Rezwan Hayat berkata, kira-kira 10 orang cedera dan tiada kematian dilaporkan ketika kebakaran itu berlaku pada jam 2 pagi (waktu tempatan) di kem Nayapara, Teknaf.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan rumah diperbuat daripada buluh. Kita telah edarkan buluh dan tarpaulin kepada penduduk yang terjejas untuk membina semula pondok mereka," ujarnya.

Menurutnya, gas silinder memasak yang digunakan secara meluas di kem pelarian tersebut dipercayai menjadi punca kebakaran itu.

Iklan

Difahamkan, Nayapara di tenggara Bangladesh menempatkan puluhan ribu pelarian Rohingya dari Myanmar termasuk mereka yang telah menetap di sana sejak tahun 1990-an.

Selain itu, sebuah lagi kem sesak di kawasan itu didiami hampir 900,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman tentera pada tahun 2017.

Iklan

Pengarah pertubuhan Save the Children di Dhaka, Onno Van Manen menyifatkan insiden itu satu lagi pukulan dahsyat kepada pelarian Rohingya yang hidup menderita selama bertahun. - AFP