Penolong pengarah agensi kerajaan antara ditahan SPRM

Iklan
Empat individu termasuk seorang penolong pengarah di agensi kerajaan Persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada petang Isnin.

KOTA KINABALU - Empat individu termasuk seorang penolong pengarah di agensi kerajaan Persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada petang Isnin.

Semua individu berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu sindiket mengeluarkan sijil pendaftaran untuk kontraktor kerja, bekalan dan perkhidmatan Negeri Sabah (PUKONSA), Sijil Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan sijil taraf Bumiputera secara rasuah.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu di mana pemohon sijil hanya perlu membayar sejumlah wang rasuah antara RM500 hingga RM1,500 kepada pegawai kerajaan di agensi berkaitan bagi mempercepatkan pengeluaran sijil-sijil terbabit tanpa perlu melalui pemeriksaan serta proses sepatutnya.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan percaya akan ada lagi beberapa tangkapan susulan.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes terbabit, namun pada masa sama, menasihatkan agar mana-mana pihak khususnya kontraktor yang mempunyai maklumat berhubung isu rasuah bagi mendapatkan sijil-sijil yang dinyatakan itu tampil membantu siasatan.