Pelancongan ikonik di Kampung Laut

Iklan
Mustapa (empat dari kanan) bersama Ahmad (kiri) dan Che Abdullah (tiga dari kanan) mendengar taklimat berkaitan projek pembangunan Kampung Laut, Tumpat pada Ahad.

TUMPAT - Kampung Laut yang terletak di lembangan Sungai Kelantan bakal menjadi pusat pelancongan ikonik di negeri ini pada masa depan apabila projek pembangunan kawasan berkenaan yang dirancang oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) siap sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang bernilai RM250 juta bakal memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan termasuklah jajahan Tumpat.

Iklan
Iklan

"Ia bertepatan dengan pengisytiharan Kampung Laut sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau tapak projek pembangunan Kampung Laut Fasa 1 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi merangkap Ahli Parlimen Tumpat.

Iklan
Mustapa (kiri) dan Ahmad (kanan) meninjau tapak projek pembangunan Kampung Laut Fasa 1 di Tumpat pada Ahad.

Menurutnya, antara komponen utama projek itu ialah pemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun ke tapak asalnya di kampung berkenaan.

Beliau berkata, projek itu dijangka memberikan impak positif kepada aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membuat makanan tradisional terutama serunding.

Iklan

"Projek pembangunan Kampung Laut Fasa I berjumlah RM40 juta sudah 73 peratus siap.

"Fasa II pula akan bermula pada Januari 2022,” katanya.

Mustapa berkata, Jambatan Palekbang itu dijangka siap sepenuhnya pada November 2023 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, jambatan itu akan menjadi alternatif terbaik untuk ke Tumpat sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama menerusi Jambatan Sultan Yahya Petra.

"Bila siapnya Jambatan Palekbang, kita yakin Kampung Laut akan menjadi tarikan pelancongan yang ikonik di negeri ini.

"Selain Pembangunan Kampung Laut dan Jambatan Palekbang, Projek Pembangunan Bersepadu di Tok Bali, Pasir Puteh dijangka turut sama akan melonjakkan ekonomi Kelantan pada masa depan,” katanya.