Polis nafi keluar amaran halang Guan Eng naik feri

Iklan
Datuk Sahabudin Abd Manan

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang pada Khamis menafikan mengeluarkan amaran menghalang bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng daripada menaiki perkhidmatan feri yang tidak lagi akan membawa kenderaan empat roda bermula pada Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, baik beliau sendiri mahupun mana-mana pegawai kanan termasuk ketua polis daerah di negeri itu tidak pernah berbuat demikian kepada sesiapapun.

Iklan
Iklan

"Saya tidak mahu mengulas lanjut cuma saya nak maklumkan tiada sebarang amaran atau arahan tidak membenarkan beliau (Guan Eng) menaiki feri hari ini (pada Khamis) seperti didakwanya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Rabu mendakwa polis Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran terhadapnya yang mahu mengambil perjalanan feri Pulau Pinang pada jam 10 pagi Khamis.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau hairan dengan tindakan polis itu kerana pihaknya hanya mahu mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada perkhidmatan ikon Pulau Pinang tersebut dengan menaiki feri berkenaan buat kali terakhir. -Bernama