BERITA » Nasional

KPT tubuh portfolio khas urus pelajar luar kampus

Noraini Ahmad

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan portfolio khas yang menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus ditubuhkan di semua universiti awam (UA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementeriannya melalui kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MAPUM) telah mengorak langkah bagi memastikan unit atau portfolio khusus yang menguruskan isu pengurusan rumah sewa siswa itu ditubuhkan.

Katanya, cadangan berkenaan adalah antara 11 agenda diusulkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lepas untuk memartabat serta memperkasakan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sukacita saya ingin maklumkan di sini bahawa kerajaan dengan berbesar hati bersetuju dengan cadangan tersebut (portfolio khusus) dan tindakan pelaksanaan bagi merealisasikan agenda tersebut sedang giat direncanakan berdasarkan kesesuaian kebolehlaksanaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Endowmen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Noraini berkata, satu garis panduan komprehensif bagi meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus hal ehwal pelajar luar kampus juga sedang dibangunkan pihaknya.

“Tidak hanya berhenti di situ, kementerian telah mengambil langkah proaktif melalui pembangunan Portal Rumah Siswa yang bakal menyediakan platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa bersama pemilik premis, khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini berkata kementeriannya juga sedang giat melaksanakan usaha memperkasakan fungsi kad matrik pelajar menerusi inisiatif Kad Prihatin Siswa.

“KPT berhasrat untuk memantapkan fungsi kad matrik pelajar sebagai kad pelbagai guna yang turut berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-wallet (e-dompet) dan transaksi tanpa tunai,” katanya. - Bernama

Iklan
Iklan