Cadang pemimpin Dayak terajui PKR Sarawak

Iklan
LARRY SNG WEI SHIEN

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Jalau, Larry Sng Wei Shien memberi bayangan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.

Larry Sng yang dilantik memegang jawatan itu pada Mac lalu berkata, ia adalah keputusan terbaik bagi PKR Sarawak yang sepatutnya diketuai oleh pemimpin suku kaum Dayak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majoriti penduduk di Sarawak merupakan orang Dayak yang mewakili 43 peratus penduduk dengan perwakilan Melayu dan Cina hanya 24 peratus sahaja.

"Orang Dayak juga kurang diberikan peluang untuk diberi peranan sebagai pemimpin tertinggi di kedua-dua parti sama ada pemerintah atau pembangkang.

Iklan

"Presiden, ketua parti daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PKR, DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PKB), Parti Amanah Negara (Amanah) sama ada orang Melayu atau Cina walaupun parti mereka banyak disokong oleh orang Dayak," katanya dalam kenyataannya pada Isnin.

Wei Shien berkata, beliau percaya perubahan dalam kepimpinan PKR Sarawak akan dapat memberi kepercayaan rakyat terhadap parti itu dalam usaha memperjuangkan pelbagai isu di negeri berkenaan.

Iklan

"Ini termasuk memerangi ketidaksekataan ekonomi di sektor swasta, ketidaksamaan pemilihan dan promosi dalam perkhidmatan awam dan tekad PKR dalam menangani isu tanah adat," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau yakin tempatnya akan diisi dengan pemimpin yang lebih baik dan peralihan kepimpinan itu akan dibincangkan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak.

Pada Mac lalu, PKR Sarawak mengumumkan barisan kepimpinan baharu dengan menyaksikan Wei Shien yang juga Ketua Cabang Julau itu dilantik sebagai Pengerusi PKR Sarawak.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, nama Pengerusi PKR dan pimpinan utama PKR Sarawak dipersetujui selepas selesai perbincangan dan rundingan antara Anwar Ibrahim dan ketua-ketua cabang negeri Sarawak.

Menurutnya, Larry Sng akan bergandingan dengan Abang Zulkifli Abang Engkeh selaku timbalan dan PKR Sarawak turut melantik Datuk Seri Hafsah Harun sebagai penasihat.

PKR juga melantik Naib Presiden (lantikan) iaitu Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Anak Muyang@Tambat dalam kalangan anggota bagi negeri Sabah atau Sarawak selaras dengan perlembagaan parti bagi mengisi kekosongan yang ada.