Agihan kerusi: Kedudukan BN sebagai parti lama, besar perlu dihormati

Iklan
Annuar berucap pada Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) kali ke-28 di Dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Slim River pada Ahad. - FOTO: BERNAMA

TANJUNG MALIM - Kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dihormati, ketika rundingan pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab terhadap sebarang rundingan berhubung isu agihan itu, selagi prinsip perjuangannya dihormati.

Iklan
Iklan

"Kita mahu parti-parti (dalam PN) hormat kedudukan kita sebagai sebuah parti yang bukan sahaja lama, tapi juga besar dan memberikan kita peranan yang bersesuaian dengan kedudukan kita.

"BN akan terus lakukan libat urus dengan banyak lagi pihak menjelang PRU15, mengambil sikap keterbukaan dengan banyak parti politik terutama 12 parti politik dalam gabungan kerajaan PN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung Parti IPF ke-28, di Dewan Tan Sri Haji Ghazali, Slim River, di sini pada Ahad.

Iklan

Menjelas lanjut, Annuar berkata, rundingan mengenai agihan kerusi dalam BN telah selesai, manakala di peringkat Muafakat Nasional yang terdiri daripada parti itu sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas belum lagi selesai.

"Dengan Muafakat Nasional belum 100 peratus selesai, selagi belum PRU15. Tapi sekurang-kurangnya daripada segi prinsip asal Muafakat Nasional telah ada kesepakatan, cuma kita belum mulakan rundingan terperinci dengan Bersatu,” katanya.

Iklan
Annuar (tiga dari kanan) pada Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) kali ke-28 di Dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Slim River pada Ahad. - FOTO: BERNAMA

Pada 14 Disember lalu, Annuar berkata, BN telah bersetuju supaya rundingan bersama Bersatu disegerakan, bagi mencapai kata sepakat berhubung kerusi yang akan ditandingi, manakala dua rundingan antara UMNO bersama Pas capai tahap kesefahaman kira-kira 60 hingga 70 peratus.

Selain itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berharap, pihak yang tidak mempunyai autoriti supaya jangan membuat sebarang kenyataan berhubung isu pembahagian kerusi, bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Mengenai cadangan penyertaan IPF sebagai rakan komponen BN, Annuar berkata, selagi tiada konsensus dalam kalangan parti komponen BN untuk menerima ahli baharu, maka IPF akan terus menjadi ‘Friends of BN’.

Namun, katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak untuk memberi peluang kepada IPF, bertanding di mana-mana kerusi sekiranya ia mempunyai prospek cerah bagi memberi kemenangan kepada parti, di kawasan terbabit.

"Walaupun IPF tidak jadi ahli (BN) jika ada tempat sesuai, ada prospek bawa kemenangan kepada kita, tidak ada masalah untuk kita berkompromi dan berikan kerusi kepada parti itu, yang penting persefahaman,” katanya. - Bernama