Dua lelaki ditahan menyamar anggota polis

Iklan

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki tempatan, dua hari lepas kerana dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, seorang daripadanya ditahan di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru dan seorang lagi di sebuah pangsapuri, di Majidee Baru di sini.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua mereka yang berumur 37 dan 43 tahun itu ditahan antara 8.00 malam dan 11.45 malam oleh sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Insp Noor Hamirul Anuar Nordin selepas menerima maklumat awam," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Norazam berkata, hasil penahanan itu, pihaknya merampas satu set kelengkapan pakaian seragam polis merangkumi sehelai vest, seluar serta tali pinggang.

Iklan

Beliau berkata, beberapa peralatan disyaki digunakan sewaktu melakukan penyamaran turut dirampas termasuk sepucuk pistol tiruan.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal, kedua-dua mereka mengaku terlibat dengan beberapa kes penyamaran sebagai anggota polis di kawasan Ulu Tiram dan Desa Cemerlang di sini serta kegiatan memecah cermin kereta di sekitar bandar raya ini.

Iklan

"Hasil semakan mendapati suspek tangkapan pertama memiliki 25 rekod pelbagai kesalahan lampau dan satu rekod orang dikehendaki polis berkaitan kes narkotik.

"Suspek tangkapan kedua pula memiliki 16 rekod pelbagai kesalahan lampau. Kedua-duanya kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut," katanya.- Bernama