Dana Kemudahan Teknologi Tinggi BNM tawar pembiayaan RM5 juta

Iklan
Bank Negara Malaysia

SHAH ALAM - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh mendapat jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta daripada Dana Kemudahan Teknologi Tinggi Bank Negara Malaysia (BNM)-Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion.

BNM dalam satu kenyataannya berkata, PKS boleh mendapatkan pembiayaan tersebut bermula 15 Disember 2020 sehingga 31 Disember 2021 setelah peruntukan digunakan sepenuhnya (mana yang lebih awal).

Iklan
Iklan

Menurut BNM, tujuan ia diperkenalkan untuk membantu PKS berteknologi tinggi dan berorientasikan inovasi terjejas yang paling sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti yang termaktub dalam NIA.

"Langkah ini penting bagi memperkukuh kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Iklan

BNM berkata, dalam subsektor perkilangan dan perkhidmatan yang mempunyai skor yang tinggi dalam NIA ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

"Selain itu, PKS yang terlibat dalam program inovasi yang sedang dijalankan oleh kerajaan dalam pelbagai teknologi penting, daripada tahap menjalankan R&D, penciptaan bersama teknologi sehingga pelesenan teknologi untuk tujuan pembangunan.

Iklan

"Ia termasuklah teknologi peringkat akhir (late stage tech-start-ups) di bawah program kerajaan yang membangunkan teknologi penting dan bersedia untuk beralih kepada pembiayaan berasaskan bank,” katanya.

Katanya, sebagai permulaan, senarai program yang dikenal pasti ialah Rangkaian Percepatan dan Inovasi Global MDEC Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional MOSTI serta Dana Penyelidikan dan Pembangunan dan Rakan Teknologi MARii yang terlibat dalam mereka bentuk dan membangunkan penyelesaian berkaitan teknologi IR4.0.

"Penerima Kemudahan Bantuan Khas, Pembiayaan PKS Penjana dan atau Pembiayaan Pelancongan Penjana layak untuk memohon HTF-NIA, untuk tujuan pembiayaan perbelanjaan modal sahaja.

"PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bernilai RM1 juta modal kerja dan bernilai RM5 juta untuk membiayai modal perbelanjaan atau kombinasi modal kerja dan modal perbelanjaan untuk tempoh sehingga tujuh tahun,” katanya.

Menurut BNM, kemudahan itu ditawarkan pada kadar faedah pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga lima peratus setahun termasuk fi jaminan dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

BNM berkata, PKS yang berminat boleh memohon terus kepada 20 institusi kewangan peserta yang terdiri bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM menerusi laman web perbankan berkenaan atau hadir ke cawangan institusi kewangan peserta.

Dalam ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, BNM telah mengumumkan penubuhan dana Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan bantuan tambahan kepada PKS yang terjejas akibat Covid-19.

PKS dalam sektor lain boleh mengakses pelbagai kemudahan yang tersedia di bawah Dana BNM untuk PKS. Maklumat terperinci tentang dana ini terdapat di www.bnm.gov.my/covid19.