RUU peringkat jawatankuasa KDN diluluskan dengan suara majoriti

Iklan

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Dewan Rakyat hari ini menerusi suara majoriti.

Keputusan tersebut diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mana wang berjumlah RM13,693,895,800 untuk kepala B62, anggaran perbelanjaan mengurus 2021 jadi sebahagian daripada jadual.

Iklan
Iklan

Pada sesi penggulungan sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjawab beberapa persoalan yang diajukan kepada beliau; antaranya isu kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang dajukan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai berapa lama lagi masa diambil bagi menyelesaikan kes tersebut.

Hamzah mengakui bahawa kes tersebut memakan masa yang agak panjang dan memaklumkan beberapa individu telah ditahan serta bakal dihadapkan ke mahkamah.

Iklan

"Prosesnya berada di peringkat akhir. Berapa lama lagi itu saya tidak boleh nyatakan. Kita akan bawa kepada Peguam Negara untuk ditentukan,” katanya.

Selain itu, menjawab soalan spesifik daripada Ramkarpal Singh (PH- Bukit Gelugor) berkenaan dengan dakwaan bahawa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik terlibat dalam rancangan serangan pengganas di India.

Iklan

Ia selepas laporan media antarabangsa mendakwa badan perisikan India berjaya memintas transaksi kewangan penting yang dikaitkan dengan Zakir.

Mengulas perkara tersebut, Hamzah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia memberikan kerjasama sekiranya terdapat laporan rasmi daripada pihak berkuasa India terhadap Zakir.

"Setakat ini belum ada laporan rasmi. Jika ada laporan rasmi, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan kamera badan pada anggota polis termasuk dalam peruntukan Belanjawan 2021.

"Sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi penggunakan kamera badan ini dan perolehannya kita akan lakukan secara tender terbuka,” katanya.

Tambahnya, dalam soal warga negara Malaysia yang sudah berusia puluhan tahun tetapi masih belum mempunyai dokumen sah akan diselesaikan secepat mungkin pada tahun depan.

"Saya beri satu tempoh iaitu setahun untuk semua mereka daftar menggunakan bukti dan dokumen yang boleh dianggap bukti mereka ini warganegara yang sah.

"Warganegara tetap adalah warga negara, dan bukan warganegara tetap adalah bukan warganegara. Saya tak mahu isu ini dipolitikkan,” katanya.