KPKT terima peruntukan RM50 juta naik taraf kawasan pelancongan luar bandar

Iklan
Zuraida Kamaruddin menyempurnakan majlis Perasmian Projek Taman Kasa Height dekat Pengkalan hari ini. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pelancongan luar bandar, bermula Januari tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sektor pelancongan luar bandar bukan sahaja mampu memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat, malah ia menjadi antara destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

"RM50 juta ini adalah bajet khusus membaik pulih atau menaik taraf kawasan kecil pelancongan di bawah kerajaan tempatan misalnya di Gerik dan Lenggong Perak serta di Umbai, Melaka, kawasan ini banyak produk pelancongan atau jeti-jeti yang diusahakan usahawan muda untuk membawa pelancong mengembara di sungai.

Perkara inilah kita akan bantu, membangunkan jeti yang sedia ada bagi bersih, cantik dan ceria untuk meningkatkan aktiviti pelancongan dan memberikan peluang untuk mereka meneruskan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Perumahan Taman Puncak Kasa Heights di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pengerusi jawatankuasa pelancongan negeri di seluruh negara akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti kawasan luar bandar yang berpotensi untuk dibangunkan atau dinaik taraf sebagai pusat pelancongan luar bandar.

Iklan

Katanya antara projek yang akan dimulakan dalam masa terdekat iaitu pantai Jason Bay di Kota Tinggi, Johor, manakala di Melaka kawasan yang dikenal pasti untuk dibangunkan ialah Jeti Umbai di Merlimau.

Sementara itu, beliau berkata, kawasan Ayer Panas di Jasin dan Durian Tunggal di sini antara lokasi yang dirancang untuk pembangunan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan menggantikan projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dirancang dibangunkan di kawasan itu.

Beliau berkata, Taman Puncak Kasa Heights terdiri daripada 1,160 unit rumah kluster bandar mampu milik yang berjaya disiapkan di negara ini. - Bernama