Awas, pakej umrah palsu!

Iklan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujudnya tawaran pakej umrah palsu berikutan Arab Saudi mengumumkan menerima semula jemaah umrah dari seluruh dunia secara berperingkat pada akhir September lalu.- Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujudnya tawaran pakej umrah palsu berikutan Arab Saudi mengumumkan menerima semula jemaah umrah dari seluruh dunia secara berperingkat pada akhir September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, bagaimanapun berkata, setakat ini PDRM tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan penipuan pakej umrah sejak pengumuman pada 23 Sepember itu.

Iklan
Iklan

"Sebagaimana, kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pelaksanaan ibadah umrah masih tidak dibenarkan.

"PDRM memberi jaminan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat akan dilaksanakan sekiranya kes sebegini dilaporkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Iklan

Zainuddin turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati jika ditawarkan pakej umrah dalam masa terdekat dengan mendapatkan pengesahan dan pandangan berkaitan pakej yang ditawarkan, termasuk daripada MOTAC dan PDRM sendiri.

Rabu lalu, MOTAC berkata ia sedang menyiasat iklan pakej umrah yang meragukan kerana rakyat Malaysia belum dibenarkan melaksanakan ibadah tersebut selepas tercetus wabak Covid-19.

Iklan

MOTAC menegaskan syarikat pengendali umrah dilarang mengambil bayaran untuk sebarang pakej umrah, selain menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran meragukan sehingga kerajaan membenarkan ibadat itu dilaksanakan kelak. - Bernama