Lelaki maki, ludah wanita didenda RM3,000

Iklan
Gunalan (belakang) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah memaki dan meludah seorang pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Lahat Isnin lalu.

IPOH - Seorang lelaki yang bertindak kasar memaki dan meludah seorang pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Lahat Isnin lalu dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Majistret Noor Azreenliana Mohd Darus membuat keputusan itu selepas tertuduh, M Gunalan, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang merupakan seorang penjual ikan turut diperintahkan menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Gunalan didakwa telah mengaibkan kehormatan Nor Asni Zilzawani Mohd Zahid, 22, dengan cara memaki dan meludah dengan niat mengganggu kesantunan wanita berkenaan.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di dalam kedai 99 Speedmart Lahat Baru Ipoh dalam daerah Kinta pada jam lebih kurang 8.40 malam, 30 November lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran atas tindakan biadab serta perbuatannya yang mengganggu sensitiviti orang Melayu.

"Tindakannya meludah di khalayak ramai pada ketika wabak Covid-19 juga adalah satu sikap tidak bertanggungjawab," katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Robert S Gnananarajan meminta hukuman diringankan memandangkan lelaki itu sudah insaf dan menyesal dengan perbuatannya.

Katanya, tertuduh yang memiliki tiga anak juga sudah enam bulan tiada pendapatan tetap disebabkan pandemik Covid-19.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa kejadian itu telah dirakam dan video berdurasi 36 saat terbabit tular di media sosial memaparkan pertengkaran seorang lelaki dengan wanita.

Kejadian berpunca apabila lelaki terbabit tidak berpuas hati selepas ditegur tidak memakai pelitup muka dan tidak menulis maklumat pada buku rekod ketika masuk ke dalam kedai.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ludah pekerja kedai ditahan