Sastera pengukuh ideologi

Iklan
Selain berfungsi sebagai alat hiburan, melepaskan keinginan bawah sedar, dan terapi diri penulis yang bermasalah dari sudut psikologi, kesusasteraan juga merupakan alat untuk membina budaya dan pengukuh ideologi.

SELAIN berfungsi sebagai alat hiburan, melepaskan keinginan bawah sedar, dan terapi diri penulis yang bermasalah dari sudut psikologi, kesusasteraan juga merupakan alat untuk membina budaya dan pengukuh ideologi.

Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan sangat ampuh dalam membentuk masyarakatnya, sama ada menjinakkan pemikiran dan perlakuan yang liar ataupun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurut Michel Foucault, sesebuah wacana tidak terhasil tanpa ideologi. Oleh itu, karya sastera yang juga suatu wacana, membawa ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk tatapan khalayaknya secara hegemoni.

Setiap orang akan menerima nilai budaya yang ideologikal melalui karya kesusasteraan daripada satu generasi kepada generasi secara rela kerana sifat penyampaiannya adalah halus.

Iklan

Dalam sesebuah masyarakat atau negara,"penjinakan” manusianya tidak mudah dilakukan dengan tenaga ketenteraan atau undang-undang kerana kekerasan akan mengakibatkan tindakan balas daripada pihak yang terasa menjadi mangsa. Tetapi dengan ideologi sebagai alat untuk menyeragamkan pemikiran rakyat, usaha itu lebih mudah dilakukan.

Dalam dunia imperialisme, teks sastera menjadi sarana dampingan bagi imperialis menjinakkan peribumi atau sekurang-kurangnya menghipnotis (memukau) masyarakat peribumi agar mengagumi imperialis di samping berasa rendah diri.

Iklan

Kuasa sastera ini disedari oleh imperialis lalu dalam wacana orientalisme, kuasa hipnotis itu dimanfaatkan dengan terancang. Edward Said dalam buku magnum opus-nya, Orientalism, merumuskan bahawa dalam wacana orientalisme terbina satu fikiran kolektif yang mengidentifikasikan"kita”, iaitu orang Eropah sebagai berbeza daripada"mereka”, yakni orang bukan Eropah.Barat mewajahkan Timur sebagai suatu wilayah, bangsa, atau tamadun yang perlu ditangani oleh Barat disebabkan"kelemahan” Timur; ini adalah sebagai tanda kekuasaan Atlantik–Eropah terhadap dunia Timur.

Menurut Edward Said, novel dan imperialisme wujud secara beriringan sehingga mustahil untuk membaca novel tanpa mengaitkannya dengan imperialisme. Maksudnya, melalui karya sastera satu pembudayaan pemikiran dapat dilakukan bagi membentuk karakter masyarakat.

Peranan sastera sebagai pemangkin kesedaran tentang kehebatan kuasa penjajah sudah diakui dalam proses penjajahan mental oleh kolonial. Oleh itu, Macaulay dalam Minute on Education di India pada tahun 1853 menyatakan,"satu rak perpustakaan Eropah yang bagus sama nilainya dengan seluruh kesusasteraan asli India dan Arab.” Dalam hubungan ini, karya sejarah sekalipun tidak terpisah daripada persoalan politik dan ideologi. Sastera sebagai pelestari dan penggerak budaya dapat dilihat pada teks Hikayat Hang Tuah. Teks itu membentuk pemikiran budaya orang Melayu tentang perlunya mereka mengagumi kekuatan bangsa sendiri berbanding kuasa luar, baik Eropah, negara Asia Barat, Asia Tengah, Asia Timur mahupun kuasa Majapahit di alam Nusantara.

Begitu juga halnya dengan Sulalatus Salatin. Semua yang ditulis telah melalui penapisan yang teliti kerana itu merupakan hasil sastera istana, dan pemilihan cerita serta kesendengan idea dibentur oleh ideologi pengarangnya yang mewakili istana.

Antara ideologi yang tersisip ialah konsep kesetiaan rakyat dan keadilan raja. Konsep kesetiaan rakyat kepada raja Melayu termaktub dalam waadat antara raja dengan rakyat melalui perjanjian Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana.

Dalam konteks sastera moden di Malaysia genre novel juga berfungsi sebagai pengukuh budaya dan ideologi. Misalnya, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi telah menerapkan idea reformasi pemikiran dalam novel monumentalnya, Hikayat Setia Asyik kepada Maksyuknya atau Faridah Hanom (1925).

Kesan daripada novel ini agak besar apabila pendamping idea reformasi itu, Ahmad Rashid Talu dan Muhammad Yusuf Ahmad turut mengembangkan idea pembebasan wanita daripada kongkongan tradisionalis. Ahmad Rashid Talu menulis novel Iakah Salmah? (1928-29), manakala Muhammad Yusuf Ahmad menulis Mencari Isteri (1928-29), novel bersiri dalam Majalah Guru.

Kedua-dua novel ini mengajak masyarakat supaya menerima perubahan cara berfikir, yakni membuka pintu kepada kemasukan nilai Barat yang mengandungi idea kemajuan serta membenarkan wanita menyatakan pandangan dan bergerak bebas di ruang awam. Seterusnya, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) menulis novel satira yang tajam, bercorak oksidentalisme dan antikolonial, Putera Gunung Tahan (1937). Novel ini sejajar dengan ideologi Pak Sako yang sangat tegar menentang kolonialisme.

Dalam dekad yang lebih kemudian, Keris Mas menghasilkan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1982); dan Azizi Haji Abdullah menulis Wi & William (1995). Dua novel tersebut merupakan representasi sosial yang diangkat daripada realiti dan diolah dengan ideologi perpaduan.

Ini wacana yang jelas membawa nilai politik untuk dibudayakan dalam masyarakat yang berubah. Maka wujudlah unsur constraint dan mobility dalam pembinaan budaya baharu tersebut.

Constraint yang dimaksudkan ialah penegasan bahawa kejayaan satu-satu kaum tidak boleh menjadi keizinan kepada mereka untuk menindas kaum lain. Jika ini dilakukan maka akan wujudlah persengketaan yang besar.

Dari segi mobility pula, masyarakat dibawa kepada satu corak hidup yang berkesatuan antara kaum. Jika sebelum DEB masyarakat di Malaysia terpecah mengikut sektor ekonomi berdasarkan kaum, kedua-dua novel itu memberikan saranan budaya baharu, iaitu perpaduan mesti dilakukan melalui kerjasama.

Kini kita berdepan dengan cabaran dalaman yang tidak selesai, iaitu perebutan status dan imej antara kaum, mahupun antara wilayah. Setiap etnik mempunyai ego masing-masing untuk memunculkan kedirian mereka.

Mahukah kita melihat potensi itu dengan positif dan memanfaatkannya, atau kita membiarkannya berlalu begitu sahaja dengan penuh ketakutan kerana enggan meleburkan ego budaya kita? Kini karyawan berada dalam situasi penting untuk menghasilkan paradigma budaya dan ideologi bagi tujuan pembentukan negara bangsa. Sastera kita hendaklah menjadi ejen yang halus tetapi berbisa untuk mencorakkan masyarakat. Sebenarnya, banyak lagi sisipan budaya dan ideologi kebangsaan yang perlu ditanam oleh penulis, bukannya menghasilkan karya yang hanya merosakkan peribadi dan pemikiran khalayak, terutama generasi baharu.

* Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia