Hulur RM1,000 minta lepas

Iklan
Lelaki Myanmar bersama tiga rakan ditahan kerana cuba memberi suapan kepada anggota polis di sekatan jalan raya di Simpang Tiga Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh.

KOTA BHARU - Seorang lelaki warga Myanmar ditahan kerana cuba memberi suapan kepada anggota polis di sekatan jalan raya di Simpang Tiga Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 6.35 petang pada 21 November lalu lelaki terbabit ditahan bersama tiga lagi rakannya warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ditangkap, pasukan polis yang bertugas di sekatan jalan raya itu telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Kancil warna perak yang datang dari arah Selising menuju Kok Lanas.

"Polis mengarahkan lelaki tempatan berusia 39 tahun serta empat lelaki warga Myanmar berusia awal 30-an menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Namun hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki tersebut gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafien berkata, setelah itu salah seorang daripada lelaki warga Myanmar tersebut datang dan memberi suapan kepada seorang anggota polis yang bertugas untuk melepaskan dirinya serta rakan-rakan lain.

Iklan

Katanya, pihak polis sudah memberi amaran perbuatan yang dilakukan itu salah di sisi undang-undang.

"Ekoran itu kesemua mereka ditangkap di tempat kejadian serta merampas wang tunai berjumlah RM1,000 atas kesalahan memberi suapan kepada pihak polis serta gagal menunjukkan sebaran pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

"Ujian air kencing yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh mendapati lelaki tempatan positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Katanya, empat lelaki warga Myanmar ditahan reman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari sehingga 5/12/2020.

"Kes disiasat mengikut siasatan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen dan Seksyen 19 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala lelaki tempatan tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

"Saya ucapkan tahniah kepada anggota bertugas dan memberi amaran kepada setengah orang awam supaya tidak memberi sogokan kepada anggota polis dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.