PRK Bugaya dan Gerik: Terserah kepada SPR, KKM, MKN berbincang

Iklan
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR - [KEMASKINI] Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan seterusnya berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRK Parlimen Gerik yang dijadual 16 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk penilaian risiko oleh KKM bagi mengetahui sama ada pilihan raya boleh dilaksanakan ketika kedua-dua kawasan berkenaan masih lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahulah sama ada perlu ada darurat atau tidak, itu kita serahkan pada perbincangan seterusnya dan kerajaan tidak campur tangan dalam perkara seperti ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

SPR hari ini menetapkan pengundian PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan dijalankan serentak pada 16 Januari depan manakala hari penamaan calon ditetapkan 4 Januari dan pengundian awal pada 12 Januari.

Iklan

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 November lalu mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat MKN hari ini memutuskan untuk membenarkan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi kelas muzik, kelas al-Quran dan tuisyen dijalankan bermula esok.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, kerajaan belum membenarkan perlumbaan sukan bermotor diadakan pada masa ini meskipun sukan tersebut dikatakan tidak melibatkan sentuhan dengan individu lain.

"KKM berpandangan walaupun perlumbaan sukan bermotor itu perlumbaan secara berasingan, tiada sentuhan, tetapi apa yang membimbangkan adalah dari segi sebelum dan selepas perlumbaan diadakan.

Beliau bagaimanapun, mengalu-alukan cadangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dengan aktiviti sukan tersebut oleh penganjur perlumbaan sukan bermotor supaya ia dapat dibincangkan pihak MKN bersama KKM bagi mengekang penularan Covid-19.

Dilaporkan, industri perlumbaan sukan bermotor dijangka gulung tikar jika perlumbaan tidak diteruskan mengikut jadual selain memberi kesan kepada pendapatan pekerja sehingga ada yang diberhentikan kerja kerana penaja tidak dapat memberi komitmen penuh.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Malaysia menyambut baik hasrat Thailand untuk membantu dan memberi kerjasama bagi mempergiatkan kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala seorang parah ditembak ketika bertugas di Padang Besar, Perlis, Selasa lalu.

Jelasnya selain melakukan tindakan bersepadu di kawasan sempadan negara, kerajaan akan melihat perkara lain sama ada terdapat keperluan untuk menambah anggota atau mewujudkan pos kawalan baharu di lokasi bersesuaian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Januari

ADUN Bugaya meninggal dunia sakit buah pinggang

'Kesihatan ibu mula terjejas selepas PRN Sabah'

Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia