MAFI optimis tingkat pengeluaran beras tempatan

Iklan
Ronald (kiri) dan Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kiri) melihat sawah padi baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) optimis untuk mencapai peningkatan kadar pengeluaran beras tempatan kepada 75 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi mengurangkan kebergantungan import negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kadar pengeluaran beras ketika ini adalah pada 70 peratus dan sebanyak 30 peratus membabitkan import beras.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polisi kerajaan sejak sekian lama dengan 70 peratus pengeluaran beras tempatan dan 30 peratus diimport menjadikannya selesa dengan polisi berkenaan.

"Penutupan negara dan sedikit halangan untuk mengimport beras pada masa pandemik koronavirus (Covid-19) ini mengajar kita untuk melihat dasar ini, kami telah diminta untuk merancakkan penanaman padi berskala besar untuk mengurangkan import.

Iklan

"Polisi 70:30 ini perlu dinilai semula dan kita menyasarkan dalam tempoh beberapa tahun lagi pengeluaran beras negara akan mencapai 75 peratus. Kalau kita mahu meningkatkan pengeluaran beras negara, kita memberikan tumpuan lebih kepada industri ini secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengenai Belanjawan 2021di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini semalam.

Iklan

Ronald berkata, MAFI akan berusaha memastikan pengeluaran penanaman padi secara berskala besar dan penggunaan pelbagai mekanisme serta automasi mampu ditingkatkan pada masa akan datang.

Ronald Kiandee

"Untuk mencapai sasaran itu, ia akan melibatkan peningkatan pengeluaran daripada jelapang padi, penggunaan baja yang bersesuaian, jenis padi dan sistem pengairan serta tanah yang bersesuaian yang akan meningkatkan pengeluaran padi berbanding sekarang.

"Kalau kita lihat pengeluaran beras padi berbeza di setiap kawasan disebabkan oleh kesuburan tanah yang berbeza di antara negeri di kawasan utara, selatan, Selangor, Perak, Pahang dan sebagainya.

"Jadi kita telah memperuntukkan sebahagian dana untuk kesuburan tanah dan jika dibandingkan dengan negara lain dari segi pengeluaran mungkin kita agak ketinggalan tetapi kita melihat negara lain mengeksport lebih banyak beras ke negara luar disebabkan oleh kawasan tanah yang besar, contohnya seperti Vietnam dan Thailand mempunyai kawasan tanah yang besar tetapi dari segi hasil pengeluaran kita lebih tinggi,” katanya.

Menurut Ronald, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM4.79 bilion untuk MAFI terus merancakkan sektor pertanian dan industri makanan dalam Belanjawan 2021.

"Peruntukan itu termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.51 bilion.

"Insentif dan bantuan yang akan diberikan juga antara lain akan meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa ini,” katanya.

Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (dua dari kiri) melawat kilang beras.

Beliau berkata, jumlah subsidi dan insentif yang diterima pada tahun 2021 telah meningkat sebanyak RM50 juta berbanding tahun sebelum ini iaitu RM960 juta untuk subsidi dan insentif tanaman padi, RM570 juta untuk insentif harga padi dan RM40 juta subsidi baja padi bukit.

"Keseluruhan subsidi dan insentif yang diterima bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara,” katanya.

Katanya, MAFI juga telah menerima peruntukan sebanyak RM410 juta bagi pelaksanaan tujuh inisiatif utama iaitu Program Kebun Komuniti atau Kebuniti dengan peruntukan RM30 juta dan Projek Pertanian Organik dengan peruntukan RM50 juta.

"Program Ladang e-Satelit pula menerima peruntukan berjumlah RM10 juta secara geran padanan sehingga maksimum RM30,000 bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan dengan peruntukan RM150 juta.

"Program Pemodenan Rantaian Nilai Agromakanan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM60 juta di bawah Agrobank dan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan RM10 juta serta Projek Pertanian dan Penternakan Berimpak dan Bernilai Tinggi dengan peruntukan RM100 juta dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memajukan lagi pembangunan sektor pertanian dan industri makanan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah mengumumkan Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan wanita dan muda.

"Kementerian akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan.

"Belanjawan ini akan dapat membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara,” katanya.