Pinjam beg penghantar makanan bawa air ketum

Iklan
Bungkusan disyaki air ketum yang dirampas daripada dua lelaki di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 menghala ke Batu Caves kelmarin.

KUALA LUMPUR - Taktik dua lelaki membawa bungkusan air ketum dengan menggunakan beg penghantar makanan gagal selepas tindakannya berjaya dihidu polis di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 menghala ke Batu Caves di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya mengesan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun itu sedang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 9.30 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya telah memberi arahan kepada suspek untuk memberhentikan motosikal itu, namun mereka telah bertindak berpusing balik dan menentang arus jalan sehala menghala ke kawasan Jinjang.

"Polis telah mengejar suspek sehingga motosikal yang dinaiki mereka melanggar sebuah kereta jenis Nissan Sentra.

Iklan

"Polis berjaya memberkas kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan warna hijau disyaki mitragynine (ketum) di dalam beg penghantar makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu saling mengenali sejak empat tahun.

Iklan

"Suspek mengakui telah meminjam beg penghantar makanan daripada seorang kawan bagi mengaburi anggota polis yang membuat sekatan jalan raya," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.