Hishammuddin nafi mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri

Iklan
Hishammuddin

SHAH ALAM - Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan beliau berusaha untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri susulan nama beliau antara yang dikaitkan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Hishammuddin berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian seperti mana yang sedang tersebar.

Iklan
Iklan

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut. Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili UMNO sebagai menteri dalam kerajaan hari ini,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar berkata demikian merujuk kepada artikel Sin Chew Daily yang mengaitkan beliau sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri, sekali gus mengundang pelbagai persoalan dan reaksi.

Iklan

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau percaya perkara terpenting yang menjadi fokus kerajaan dan UMNO ketika ini bukanlah soal jawatan, sebaliknya kepada Sidang Parlimen, Belanjawan 2021 serta mengurus krisis Covid-19.

Beliau berkata, pendirian itu selari dengan kenyataan media Presiden UMNO dan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tempoh hari iaitu menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi Covid-19.

Iklan

"Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Menurut akhbar Sin Chew Daily, selain Hishammuddin, dua lagi pemimpin UMNO yang disebut-sebut dalam pertimbangan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang kini memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan adalah Ahli Parlimen Bera, manakala Hishammuddin yang juga Menteri Luar adalah Ahli Parlimen Sembrong.

Mohamad pula perlu diberikan tiket Senator sekiranya dipilih menyertai barisan Kabinet itu sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu kerana beliau tidak bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.