Pengajaran PRK Cameron Highlands

Iklan

SABTU lalu Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kelima selepas PRU14. Inilah pilihan raya pertama yang dimenangi BN sebagai pembangkang selepas tewas dalam tiga PRK di Selangor dan tidak bertanding ketika PRK Port Dickson.

Rasanya sudah banyak analisis yang telah dibuat oleh pemerhati dan penganalisis politik tentang PRK Cameron Highlands ini. Pelbagai pandangan dan pendapat telah dilontarkan dalam menerangkan keberjayaan BN mengalahkan Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Namun begitu, hanya sedikit penulisan yang dapat menerangkan apakah pengajaran di sebalik PRK itu. Dengan PRK Semenyih bakal menjelang dan Rantau pula dalam mod bersedia, terdapat tiga pengajaran utama PRK Cameron Highlands yang dapat dikongsikan dalam komentar kali ini.

Pertama, faktor calon masih lagi menjadi pemberat utama dalam setiap pilihan raya. Pemilihan calon yang sesuai dengan demografi setempat amat penting dalam memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya. BN telah membuktikan ini apabila memilih calon langsung BN daripada Orang Asli berbanding MIC sepertimana tradisi. Strategi pragmatik BN itu bukan sahaja diterima masyarakat setempat malah disenangi Pas sebagai sekutunya.

Iklan

Jelas pengalaman dari PRK sebelumnya di Sungai Kandis (BN meletakkan calon bukan anak tempatan), Balakong (calon MCA menggunakan lambang MCA) dan Seri Setia (Calon Pas menerusi kerjasama longgar Umno-Pas) dimanfaatkan sepenuhnya dengan bijak.

Dalam masa sama BN juga pernah menggunakan kaedah ini ketika berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun 2016. Hasilnya sungguh lumayan apabila BN menang besar dalam PRN itu.

Iklan

Kedua, permuafakatan dan kerjasama politik adalah nadi utama dalam politik pilihan raya. Kemenangan pada kali ini jelas disebabkan berkalihnya undi penyokong Pas kepada BN menerusi kerjasama sebagai pakatan pembangkang. Tanpa Pas, barangkali sukar untuk BN mengekalkan kemenangannya di Cameron Highlands. Sepertimana PH yang bergabung untuk menentang BN kerana rasuah, korupsi dan salah guna kuasa, BN-Pas pula berpakat atas kepentingan Melayu-Islam.

Sepanjang PRK, PH dilihat tidak berdaya menepis persoalan melibatkan kepentingan Melayu-Islam selepas insiden ICERD dan tragedi Adib, ditambah pula dengan kontroversi ‘cakap tak serupa bikin’ dalam isu salah guna jentera kerajaan ketika berkempen.

Sebaliknya pula, BN-Pas kelihatan semakin kuat dan keterdepan dalam isu-isu Melayu-Islam dan mula dilihat sebagai gabungan alternatif terbaik bagi menyaingi PH yang tidak peka dengan sensitiviti Melayu-Islam. Walaupun pakatan BN-Pas masih terbina atas prinsip ‘an enemy of my enemy is my friend’, pakatan ini semakin menemui titik temu yang berupaya menyatu.

Dengan perkembangan politik semasa, tidak mustahil pakatan ini akan lebih pragmatik dan mampu melangkaui batas Melayu-Islam bagi menyaingi PH sebagai pemerintah semasa.

Ketiga, jelas ada perubahan ketara dalam kalangan pengundi yang kelihatan semakin kritikal dan non-partisan. Selepas PRU14, pengundi di Malaysia semakin kritikal dan terbuka terhadap institusi kerajaan dari segenap aspek.

Ketika PRK Cameron Highlands, PH dikecam hebat gara-gara menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen yang suatu ketika dahulu dianggap biasa dan lumrah. Institusi seperti SPR dan media juga kelihatan neutral kerana tekanan daripada rakyat, lantas tidak memberi apa-apa kelebihan kepada PH sebagai pemerintah berbanding ketika BN dahulu.

Malah, gula-gula politik yang lazimnya ditabur semasa PRK tidak mampu lagi dilakukan pemerintah dek kerana keterbukaan dan kritisnya pengundi hari ini. Perkara ini akan menjadikan parti politik lebih berwaspada, telus dan terbuka dalam setiap tindak-tanduk ketika pilihan raya.

Akibatnya, mereka akan lebih responsif dan bertanggungjawab kepada pengundi dalam erti kata yang sebenar. Pengundi kini tidak lagi bersifat subjek dan parokial yang pasif terhadap politik semasa, malah semakin aktif dan berpartisipasi dalam aspek berpolitik dan kerajaan, tanpa perlu menjadi ahli kepada mana-mana parti politik.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM