Anwar Ibrahim dijangka hadir ke Bukit Aman esok

Iklan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok berhubung siasatan berkenaan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau difahamkan Anwar akan hadir esok.

Iklan
Iklan

"Cuma masa itu tidak dapat dipastikan. Mungkin juga petang, tapi kalau dia (Anwar) datang pagi, itu saya tidak tahu," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Difahamkan, proses merekod keterangan Ahli Parlimen Port Dickson itu akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada jam 3 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen sokong Anwar

Iklan

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menjalankan siasatan terhadap penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang menyokong Anwar.

Enam laporan polis mengenainya diterima termasuk satu daripada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 8 Oktober lalu.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, Anwar mendedahkan bahawa beliau mempunyai sokongan kukuh daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.