GPS nafi sokong Anwar bentuk kerajaan baharu

Iklan
Alexander Nanta Linggi

SHAH ALAM - Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan memberi sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

"Parti GPS yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.

"Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Alexander yang juga Setiausaha Agung PBB mengingatkan Anwar agar menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Iklan

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

"Sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

"Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan," katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya menolak sekeras-kerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan bahawa Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS.

"Sarawak, yang diterajui oleh Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri akan terus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat membawa banyak kebaikan kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri Sarawak," katanya.

Anwar dalam sidang akhbar hari ini mendakwa bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Anwar turut memberi jaminan bahawa beliau mempunyai 'dokumen tetap yang tidak boleh diragui' bagi membuktikan beliau kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.