Tamrin mahu saman Zuraida isu projek runding terus

Iklan
Mohd Tamrin

SHAH ALAM - Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin berhasrat mengemukakan saman terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin susulan dakwaan mengaitkan beliau dengan projek rundingan terus stesen pemindahan sisa pepejal.

Menurut laporan Malaysiakini, beliau berkata, projek tersebut sebenarnya dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

"Zuraida pada 28 Ogos menggambarkan seolah-olah projek tersebut diberikan secara runding terus oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada syarikat tersebut atas dasar penglibatan saya dalam syarikat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua projek rundingan terus KPKT melalui Guan Eng

Iklan

Tamrin serah pada peguam dakwaan Zuraida

"Untuk makluman projek tersebut diberi secara runding terus oleh kerajaan BN yang mana Menteri KPKT ketika itu ialah Tan Sri Noh Omar," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ialah semua projek yang diberikan secara rundingan terus oleh BN akan diturunkan atau dikurangkan harga sebanyak 10 peratus daripada nilai asal.

"Perkara-perkara lain akan dikemukakan semasa perbicaraan di mahkamah nanti," katanya.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa Tamrin, selaku penasihat Bumi Segar Indah bertemu Guan Eng untuk berbincang dan berunding secara terus bagi projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara pada 26 November 2018.

Zuraida mendakwa Guan Eng menasihati Bumi Segar Indah untuk menghantar cadangan formal dan akhirnya memberikan persetujuan berhubung projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019.

Mengulas lanjut, Tamrin menjelaskan bahawa surat guaman kepada KPKT telah dikirimkan pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut kementerian itu mengemukakan bukti berhubung surat kelulusan projek berkenaan.