Laut China Selatan bakal bergolak

Iklan

KRISIS China dan Taiwan semakin panas apabila Taiwan memohon sokongan antarabangsa setelah diugut oleh China pada 5 Januari. Taiwan enggan bersatu dengan China disebabkan pendemokrasian di China tidak menampakkan apa-apa perubahan. Ini diterukkan lagi dengan krisis layanan China terhadap kaum minoriti Uyghur yang enggan bersama dengan sistem komunis China iaitu menolak agama.

Jika diteliti pada ucapan 2 Januari lalu, Presiden China menyeru rakyat Taiwan untuk menerima penyatuan bersama dengan China melalui dua sistem satu negara. Penggunaan model dua sistem satu negara seperti yang diamalkan di Hong Kong dan Macau sebenarnya telah mengehadkan kebebasan bersuara dalam mengritik kelemahan sistem tadbir urus China. Akibatnya, ramai pengritik sama ada dipenjara atau terpaksa meninggalkan Hong Kong demi keselamatan mereka.

Iklan
Iklan

Penyatuan Taiwan dengan China seperti yang diinginkan oleh China boleh difahami apabila beberapa isu berbangkit. Pertama, Taiwan menjadi penghalang utama dalam perluasan penguasaan China di Laut China Timur dan Laut China Selatan. Taiwan yang merupakan sekutu utama Amerika telah menyebabkan armada angkatan laut Amerika turut campur tangan dalam krisis Laut China Selatan dan Laut China Timur. Telah berlaku beberapa kali pertembungan armada angkatan laut Amerika dengan China. Tetapi pertempuran tidak berlaku disebabkan dasar Presiden Donald Trump yang enggan menimbulkan sebarang konflik dengan China.

Persaingan sengit geopolitik di Laut China Selatan turut menarik perhatian kuasa baharu iaitu Britain. Kenyataan Setiausaha Pertahanan Britain Gavin Williamson bahawa Britain amat berminat membuka pengkalan tentera di Asia Tenggara sama ada Singapura atau Brunei. Ini bermakna secara tidak langsung kuasa armada laut Britain bakal menggantikan kuasa armada laut Amerika di Laut China Selatan.

Iklan

Britain dan Amerika sependapat untuk menghalang penguasaan armada laut China di Laut China Selatan. Jika kedua-dua kuasa armada laut iaitu Britain bakal menjaga perairan Laut China Selatan, manakala Amerika pula menjaga perairan Laut China Timur dan Laut China Utara, adakah China bakal terkepung dalam konteks ini. Pengkalan tentera laut Amerika sememangnya sudah berada di Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Filipina. Cuma yang pasti apakah tindakan seterusnya dari China jika wilayah lautnya dikepung.

Malahan projek OBOR (One Belt and One Road) turut dikatakan menghadapi masalah apabila berlakunya pertukaran kerajaan di negara-negara yang dirancang untuk pelaksanaan tersebut. Perdagangan dan perindustrian merupakan nadi utama ekonomi China turut diserang dalam konteks pengenaan cukai tarif yang agak tinggi oleh Amerika. Isu-isu ini seakan sama dengan apa yang berlaku di Rusia.

Iklan

Semasa wujudnya kesatuan Soviet Union, wilayah Krimea dan Timur Ukraine yang merupakan wilayah majoriti penduduk Rusia telah digabungkan dengan Ukraine. Selepas kejatuhan Soviet Union pada 1990, krisis kelangsungan hidup Rusia telah bertambah buruk. Ini disebabkan barangan perindustrian dan perdagangan Rusia tidak mampu dibawa keluar dari laut disebabkan pelabuhan utama di Laut Hitam telah dikuasai oleh Ukraine.

Manakala di barat Rusia, wilayah yang dulunya sekutu Rusia telah mula menjalani proses demokrasi dan akhirnya dikuasai oleh Barat. Akibatnya apabila Rusia bangkit kembali sebagai kuasa utama ekonomi melalui proses pembaharuan perindustrian dan perdagangan. Maka berbangkitlah ketidak stabilan geo politik di wilayah sempadan Rusia. Tidak menghairankan apabila berlakunya rampasan kuasa di Ukraine yang berakhir dengan krisis peperangan dengan Rusia. Krisis ini juga melibatkan negara Georgia, Armenia dan Azerbajian. Malahan turut merebak sehingga ke Syria dan Iraq.

Tindakan balas Putin sebagai Presiden Rusia ialah mengadakan referendum di wilayah Krimea dan Ukraine Timur sama ada ingin bersama Rusia atau berpisah dengan Ukraine. Akhirnya kedua-dua wilayah tersebut memilih berpisah dan bersama Rusia. Angkatan tentera yang dihantar oleh negara Ukraine akhirnya memilih tidak mahu berperang dengan kedua-dua wilayah tersebut yang dianggap sebagai saudara mereka.

Manakala, tentera Rusia dihantar ke Syria untuk menghapuskan pemberontak ISIS yang dianggap sekutu pihak tertentu bertujuan menganggu gugat usaha perdamaian antara kerajaan Syria dengan penduduk-penduduk Sunni Syria. Kejayaan Putin ini telah membuahkan hasil apabila Rusia berjaya keluar daripada pengepungan pihak-pihak tertentu di Barat yang sengaja menimbulkan polemik kekacauan di Ukraine dan Syria. Keamanan di Syria memberikan impak kepada keamanan di Iraq. Penguasaan Rusia ke atas Syria dan Ukraine amat penting bagi laluan kapal dagangan Rusia sepanjang Laut Hitam dan Laut Mediterranean.

Berbalik kepada Laut China Selatan, adakah negara-negara yang berada dalam lingkungan kedua-dua lautan tersebut selamat daripada apa yang menimpa di Ukraine dan Syria. Ini disebabkan kejayaan Rusia telah memberikan tamparan kepada usaha pihak tertentu untuk mencetuskan ketidakstabilan di rantau Laut China Selatan. Kini terpulanglah kepada kita semua.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan