Simpanan RM355,000 pesara lesap

Iklan
Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM355,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam. Gambar hiasan. - Foto 123RF

BANTING - Seorang pesara kerani berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM355,000 lesap selepas diperdaya ahli sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pos laju.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa berusia 58 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai petugas dari pos laju kira-kira jam 11 pagi pada 12 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mempunyai barang yang tidak dapat dihantar ke alamat penerima mengandungi kad pengenalan dan kad ATM.

"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa sebagai pegawai polis di Bukit Aman dan mengatakan mangsa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram.

Iklan

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan dakwaan itu mengikut arahan suspek dan memindahkan wang simpanannya berjumlah RM355,000 sehingga 21 Ogos menerusi beberapa transaksi.

Iklan

"Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya tertipu sebelum membuat laporan polis pada hari ini dan kita jalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihatkan supaya masyarakat jangan panik dengan panggilan sebegini. Sebaiknya hubungi terus pihak yang berkenaan seperti bank, institusi kewangan atau polis bagi membuat pengesahan lanjut," katanya