ABIM gesa pinda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

Iklan
Muhammad Faisal Abdul Aziz

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuklah mengenakan hukuman penjara mandatori kepada penjenayah alam sekitar.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, merujuk kepada isu pencemaran sungai di Selangor oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengakibatkan gangguan bekalan air di tujuh wilayah, beliau menegaskan insiden tersebut bukan pertama kali berlaku yang menyebabkan jutaan orang terjejas.

Iklan
Iklan

"Insiden ini bukan kali pertama berlaku ke atas sumber alam yang menjejaskan jutaan penduduk. Malah, telah berulang kali berlaku termasuk di negeri-negeri lain. Justeru, satu tindakan bersifat jangka panjang harus dilaksanakan sebagai penyelesaian utama bagi mengelakkan perkara sama berulang.

"Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada Februari lalu telah menyatakan komitmen untuk membentangkan pindaan akta tersebut pada tahun ini namun hingga hari ini belum kelihatan inisiatif untuk meneruskan ketetapan yang dinyatakan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa sebuah kilang yang disyaki terlibat dengan insiden pencemaran Sungai Gong disita dan akan didakwa di mahkamah serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Sungai Gong: Empat beradik pemilik kilang ditahan

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan perkara tersebut dan tindakan lebih keras melalui proses undang-undang akan dikenakan terhadap pihak terlibat.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, pihaknya turut menggesa agar pindaan penting dibuat pada peruntukan berhubung kerahsiaan maklumat agar rakyat diberikan maklumat lengkap berhubung syarikat dan kilang yang diberikan lesen.

"Apa yang paling utama ialah satu konsultasi harus dibuat dengan rakyat dan penduduk setempat sebelum sebarang lesen kebenaran dikeluarkan.

"Kami menjangkakan pindaan yang dicadang mungkin akan menjejaskan usaha merancakkan industri dan pelaburan buat negara, namun ABIM menegaskan bahawa hak rakyat dan alam sekitar adalah lebih penting untuk dipelihara," katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperhebat usaha kerjasama dengan kedua-dua mengambil tanggungjawab khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelakkan perkara sama berulang.