KPDNHEP rampas produk bijirin tidak halal

Iklan
KPDNHEP Putrajaya merampas 204 produk bijirin dipercayai tidak halal dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Buloh, Selangor, Rabu lalu.

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menggempur sebuah premis di Sungai Buloh, Selangor, Rabu lalu dan merampas produk bijirin dipercayai tidak halal bernilai RM2,445.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, siasatan mendapati produk tersebut diimport dari Korea dan tidak mempunyai pelabelan berhubung nama dan alamat pengimport atau pekilang.

Iklan
Iklan

"Maklumat yang tertera pada kotak produk tersebut pula ditulis dalam bahasa Korea dan tidak mempunyai sebarang tulisan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang membolehkan pengguna di negara ini mendapat maklumat yang sewajarnya.

"Susulan itu, kita merampas 204 unit produk bijirin bernilai RM2,445. Kes disiasat di bawah Perintah 3(1)(c) dan 4, Perintah Kawalan Harga (Pelabel oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau mengingatkan peniaga supaya lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan mengikut undang-undang di Malaysia manakala pengguna perlu berhati-hati membeli produk yang tidak mempunyai logo pengesahan halal.

Katanya, masyarakat juga diminta menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir ke pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

Iklan

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berkenaan dakwaan produk bijirin yang mengandungi bahan kandungan berasaskan babi.