Generasi muda perlu kekal keamanan negara: Noh

Iklan
Noh (berdiri tengah, tiga dari kiri) bergambar bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pentadbir sekolah di SK Sungai Burong di sini hari ini.

TANJONG KARANG - Generasi muda diingatkan sentiasa bersiap sedia memastikan keselamatan, keharmonian dan keamanan negara tercinta terus diwarisi pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, nikmat keamanan dikecapi itu merupakan keringat pejuang terdahulu yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jasa dan sumbangan wira terdahulu bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan begitu sahaja generasi muda hari ini.

"Pengorbanan generasi terdahulu amat penting setelah kita bebas daripada cengkaman penjajah," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pada Program Puteri Merdeka Tour di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong di sini hari ini.

Iklan

Sehubungan itu katanya, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk generasi muda agar cintakan negara.

"Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk dari peringkat awal alam persekolahan," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai program itu, Noh berkata, kira-kira 2,000 Jalur Gemilang diagihkan ke semua sekolah di Parlimen itu.

Katanya, program itu anjuran Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang yang diketuai Ketuanya, Salbiah Saari.

"Kita mengagihkan Jalur Gemilang kepada 22 prasekolah, 26 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah di Parlimen ini," katanya.