Mahu promosi seks selamat, sebab itu bantah

Iklan
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

SHAH ALAM - Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa tindakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membantah kempen ‘Sayno2zina’ kerana ingin mempertahankan promosi ‘Safe Sex’ (seks selamat) yang digerakkan kumpulan berfahaman liberal di negara ini.

Menurutnya lagi, jika suara kumpulan itu terus diangkat, tidak mustahil aktiviti ‘seks selamat’ akan dimasukkan dalam kurikulum pendidikan di negara ini.

Iklan
Iklan

"Bantahan beberapa NGO terhadap kempen ini dengan hujah bahawa ia merupakan pendekatan konservatif (kempen ‘Sayno2zina’) dan seseorang wanita itu harus diberi kebebasan untuk melakukan seks jelas menunjukkan kejahilan mereka terhadap ajaran agama dan kejadian manusia.

"Ia juga dilihat sebagai satu idea menolak orientasi pemikiran bertuhan yang juga merupakan rukun pertama dalam Rukun Negara.

Iklan

"Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia terutamanya orang Islam supaya terus memberikan sokongan kepada kempen ‘Sayno2zina’ yang merupakan kesinambungan dan kemunculan semula kempen ‘Jauhi Zina’ yang telah dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen 'SayNo2Zina' dapat tentangan NGO

Iklan

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi, semua pihak terutamanya umat Islam diseru untuk terus memberikan sokongan padu terhadap kempen yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kerana ia selari dengan amalan semua agama yang melarang penganutnya melakukan perbuatan keji dan tercela itu.

"Ini kerana, perbuatan itu (melakukan seks sebelum berkahwin) akan mendatangkan pelbagai keburukan kepada manusia seperti merosakkan nasab (keturunan), menyebabkan permusuhan, mencemarkan maruah dan menjadi punca penularan pelbagai penyakit serta menyamakan antara manusia dan binatang.

"Iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (menerusi ikatan perkahwinan),” katanya.

Justeru katanya, beliau secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah serta akan menyokong penuh kempen yang dilaksanakan itu sebagai usaha untuk menangani kes kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi di negara ini.

Terdahulu, memetik laporan sebuah akhbar berkata, beberapa kumpulan NGO wanita menyuarakan bantahan terhadap kempen berkenaan kerana dikatakan menganiayai serta menyekat kebebasan wanita.

Ia susulan sebuah poster yang dimuat naik oleh LPPKN yang memaparkan semua agama melarang hubungan seks sebelum perkahwinan dan hashtags #jagadiri dan #stayabstinent dan kata kunci,"sayno2zina".