Pak Wan yakin kepemimpinan baharu teruskan perjuangan Bersatu

Iklan
Mohd Redzuan

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof melahirkan keyakinan bahawa kepemimpinan baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus melestarikan perjuangan parti.

Justeru katanya, semua ahli perlu memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan Bersatu yang baharu.

Iklan
Iklan

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memilih kepemimpinan baharu.

"Kepada barisan kepemimpinan yang baharu, saya ucapkan syabas dan tahniah. Saya juga ingin berterima kasih kepada perwakilan yang telah memberikan sokongan kepada saya pada pemilihan semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Pada pemilihan Bersatu semalam, Mohd Redzuan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan tewas bagi merebut jawatan Naib Presiden yang dimenangi oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Beliau merupakan antara 18 calon yang bertanding dalam pemilihan Bersatu bagi merebut satu daripada tiga kerusi bagi jawatan Naib Presiden parti.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Radzi menang Naib Presiden Bersatu, Pak Wan tewas

Persidangan Bersatu peringkat bahagian yang berakhir semalam turut menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Bersatu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini.

Turut menang tanpa bertanding Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi jawatan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, jawatan bagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap dipegang oleh Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Datuk Hashim Suboh manakala 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut dimuktamadkan pada pemilihan tersebut.

Antara yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Azlinda Abdul Latif juga dipilih bagi jawatan MPT.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti itu, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kenyataannya memaklumkan, seramai 23,438 perwakilan mengundi dalam persidangan bahagian masing-masing.

Bagaimanapun katanya, hanya 177 daripada 179 bahagian berjaya mengadakan persidangan apabila dua bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum.