Dua positif Covid-19 di Felda Bukit Rokan

Iklan
Polis melakukan sekatan jalan bagi mengawal pergerakan di Kampung Felda Bukit Rokan, Tampin.

TAMPIN - Penduduk di Felda Bukit Rokan, Gemencheh di sini dinasihatkan supaya tidak panik berikutan terdapat dua kes baharu disahkan positif koronavirus (Covid-19) dekat kawasan itu hari ini.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan, Koperasi dan Alam Sekitar, S Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan bersama agensi kerajaan lain akan melakukan yang terbaik bagi memastikan tiada penularan kes lain di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Katanya, sekatan jalan telah pun dilakukan oleh pihak polis bagi memastikan tiada orang luar yang memasuki Felda Bukit Rokan terutamanya di kawasan yang berisiko.

"Hari ini terdapat dua kes baharu melibatkan dua lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai penoreh dan tukang rumah di kawasan itu.

Iklan

"Saya telah nasihatkan kepada pengurusan Felda supaya membuat kerja-kerja nyahkuman di seluruh Kampung Felda Bukit Rokan ini dan melakukan saringan Covid-19 kepada sesiapa yang ada kontak rapat dengan dua warga Indonesia ini.

"Patuhi segala nasihat kerajaan dan lakukan kuarantin diri selama 14 hari jika ada kontak rapat dengan pesakit itu," katanya.

Iklan

Tambahnya, jika terdapat mana-mana penduduk kampung yang tidak sihat atau bergejala, dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Sehingga jam 12 tengahari ini, terdapat dua kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 1,034 dengan kematian kekal seramai lapan orang manakala tiga kes sedang dirawat dan seramai 1,023 pesakit telah dibenarkan pulang.