PRK DUN Slim: Pemuda Pas bantu jentera BN

Iklan
Khairil Nizam Khirudin

ALOR SETAR - Pemuda Pas akan membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam mengekalkan kerusi tradisi milik UMNO itu.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, seluruh jentera Pemuda Pas negeri Perak digerakkan ke kawasan tersebut bagi membantu jentera kempen BN atas semangat Muafakat Nasional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, arahan untuk membantu hanya dikeluarkan kepada Pemuda Pas Perak sahaja tanpa melibatkan jentera pemuda Pas dari negeri lain disebabkan oleh PRK Slim yang berlangsung dalam situasi pandemik koronavirus (Covid-19).

"Setakat ini melalui strategi awal, semua jentera Pemuda Pas Perak akan digerakkan ke kawasan itu. Bagi peringkat negeri lain, kita 'hold' dulu untuk melihat keadaan, jika keadaan mengizinkan barulah digerakkan.

Iklan

"Pemuda Pas akan bergerak bersama Pemuda Muafakat Nasional dalam membantu calon BN pada PRK DUN Slim ini. Sebelum ini juga kita membantu calon UMNO pada PRK yang lalu atas status Muafakat Nasional," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas Kedah kali ke-54 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

PRK DUN Slim yang diadakan pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

Iklan

Mohd Zaidi 43, yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Slim bakal dicabar calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas adalah S Santharasekaran, 44, yang merupakan Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam).