Penunggang maut motosikal bertembung kereta

Iklan
Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. Foto: Ihsan PDRM
SETIU - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Kampung Bahagia, Guntong Dalam di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa Muhamad Kamarulzaha, 25, dari Kampung Bari Kecil, Bandar Permaisuri meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Nahas dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah Kampung Bahagia menghala ke Guntong Dalam bertembung dengan Proton Exora yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, motosikal mangsa kemudian turut dilanggar oleh sebuah motosikal lain yang datang dari arah belakang.

"Akibat perlanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala semua mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut,” katanya kepada media hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.