Surau Al-Jannah Seksyen 23 beroperasi semula hari ini

Iklan
Surau Al-Jannah di Seksyen 23 Shah Alam sebelum ini diarah tutup susulan terdapat ahli jemaah surau itu yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) berkaitan Kluster Sivagangga.

SHAH ALAM - Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini yang ditutup sejak Jumaat lepas susulan terdapat jemaahnya dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif koronavirus (Covid-19) Kluster Sivagangga di Napoh, Jitra, Kedah, dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi berkata, pembukaan semula surau tersebut dibuat selepas ujian saringan jemaah terbabit didapati negatif.

Iklan
Iklan

"JAIS dimaklumkan bahawa individu dan ahli keluarga (jemaah) yang dikaitkan dengan kontak positif Covid-19 di Ipoh didapati negatif berdasarkan keputusan dua kali ujian saringan Covid-19 yang dibuat pada 7 Ogos dan hari ini.

"Susulan keputusan itu, JAIS bersetuju untuk membuka semula operasi surau Al-Jannah mulai hari ini dengan solat fardu lima waktu berjemaah, solat Asar selain membenarkan juga solat Jumaat serta aktiviti pengimarahan surau berkenaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, turut dibenarkan beroperasi semula adalah Sekolah Kafa Al-Jannah berdekatan surau tersebut.

Bagaimanapun katanya, individu dan ahli keluarga yang dikaitkan dengan kontak rapat kluster tersebut tidak dibenarkan hadir ke surau sekiranya masih dalam tempoh kuarantin ditetapkan oleh klinik kesihatan kerajaan.

Iklan

"Jawatankuasa surau dan pentadbir Kafa juga diingatkan agar terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS bagi memastikan pencegahan penularan wabak Covid-19," katanya. - Bernama