Golongan B40 terima impak besar akibat Covid-19

Iklan
Muhammed

KUALA LUMPUR - Golongan bawahan dan berpendapatan rendah di negara ini seperti peniaga kecil, pelajar dan graduan akan menerima kesan ekonomi susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, berdasarkan data bermula Februari sehingga Jun, jumlah peratusan tidak bekerja meningkat dan kadar pengangguran dicatatkan sebanyak 4.9 peratus.

Iklan
Iklan

"Daripada angka ini, ia merupakan jumlah tertinggi dalam tempoh 30 tahun. Kumpulan terkesan yang pertama ialah golongan bekerja sendiri dan berpendapatan rendah di mana terdapat 2.3 juta orang. Kedua ialah kanak-kanak daripada soal pendidikan dan nutrisi makanan dan ketiga ialah graduan yang baru keluar dan ingin mencari pekerjaan.

"Golongan 'Mak Cik Kiah' ini kalau dia tidak boleh buka kedai, dia akan hilang pendapatan dan modalnya tidak boleh digandakan. Tidak seperti mereka makan gaji, walaupun kehilangan pekerjaan, untuk tempoh enam bulan ada skim yang mampu membantu mereka," katanya pada Live Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bertajuk 'Ekonomi Rakyat Pasca Covid-19' di sini hari ini.

Iklan

Muhammad berkata, isu nutrisi makanan dalam kanak-kanak terutama pelajar di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi antara krisis utama kepada negara pada masa sekarang.

"Jika sebelum ini, setiap pagi pelajar-pelajar yang terpilih di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan mendapat makanan dan nutrisi yang mencukupi sebelum memulakan pembelajaran. Terdapat kira-kira 500,000 pelajar yang menerima manfaat ini.

Iklan

"Selain itu soal pendidikan pula kalau kita lihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, 90 peratus pelajar di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Kedah dan Sabah tidak mempunyai komputer riba bagi tujuan pembelajaran. Isu pembelajaran ini kesannya panjang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, seramai 175,000 graduan yang menamatkan pengajian memasuki pasaran buruh.

"Apabila ekonomi menguncup, peluang pekerjaan juga terjejas. Mereka ini akan tertekan kerana syarikat tidak melabur dan sediakan peluang pekerjaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, impak Covid-19 kepada ekonomi Malaysia lebih buruk berbanding krisis ekonomi 1998 dan 2008 apabila ramai golongan bawah tertekan dengan keadaan semasa.

"Sektor ekonomi negara tidak berkembang dengan baik dan menguncup. Kedua, ekonomi Malaysia sebanyak 40 peratus ialah daripada pelaburan luar. Jika negara luar tidak rancak, kita juga akan seperti mereka," katanya.

Ditanya adakah jurang kaya dengan miskin semakin melebar, Muhammad berkata, jurang berkenaan sudah melebar sejak 2016 hingga 2019 lagi dan apabila Covid-19 ini melanda ia akan semakin bertambah.

"Peratusan B40 akan semakin meningkat dan T20 akan kekal kerana tidak begitu terkesan sebagaimana golongan bawahan ini.

"Kadar kemiskinan juga akan meningkat kerana peluang pekerjaan semakin kecil dan ditambah dengan jumlah mereka menganggur dan kehilangan pekerjaan. Ini perkara yang perlu diperhalusi dan dilihat sebaik mungkin oleh semua pihak terutama kerajaan," katanya.