Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abd Jalil

Iklan
Ucapan takziah Al-Sultan Abdullah kepada keluarga Allahyarham Abd Jalil. - Foto Instagram Istana Negara

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali yang meninggal dunia semalam.

Menerusi hantaran Istana Negara di Instagram, Seri Paduka turut menzahirkan dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Iklan
Iklan

"Seri Paduka Baginda mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut hantaran itu.

Yang di-Pertuan Agong amat menghargai khidmat dan bakti Allahyarham Abd Jalil kepada dunia kewartawanan negara dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan sebutir bintang.

Iklan

Allahyarham berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Allahyarham juga ialah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Iklan

Abd Jalil yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia di Pusat Perubatan Sunway pada jam 6.32 pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan, 60, dan empat anak Mohd Arief, 36; Nur Aaina, 35; Mohd Haikal, 32, dan Nur Asila, 26, serta seorang cucu, Benjamin Rumi Mohd Haikal yang berusia empat bulan.

Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini pada jam 12.40 tengah malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Abd Jalil selamat dikebumi

Sinar Harian hilang seorang ayah

'Saya kehilangan sahabat, staf yang baik'

ALLAH perkataan terakhir disebut arwah: Isteri