Hukum wakil rakyat tidak berintegriti

Iklan
Sabah yang terkenal dengan Gunung Kinabalu akan mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam tempoh terdekat. Mampukah pilihan raya itu menghapuskan pergolakan politik?

SENARIO politik negara sering menyajikan kejutan dan berita sensasi sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang dan rakyat tanpa gagal menjadi pemerhati setia dalam mengikuti perkembangan semasa arena politik.

Terkini, perkhabaran yang menjadi perbualan ramai tidak lain tidak bukan, pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Iklan
Iklan

Pembubaran tersebut sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) untuk diadakan dalam tempoh 60 hari bagi melantik mandat pemerintahan yang akan memastikan kemakmuran negeri itu.

Apa yang menarik perhatian adalah persoalan sama ada perkembangan terkini di Sabah itu bakal memberi impak terhadap kerajaan Persekutuan dan adakah ia bakal mempengaruhi kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera mengadakan pilihan raya umum?

Iklan

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, politik Sabah mengalami pergolakan sejak tahun 2018 dan ia banyak bertumpu kepada isu perebutan kuasa.

"Persepsi politik negatif serta defisit integriti dan keikhlasan wakil rakyat untuk mengurus tadbir Sabah sebaik mungkin sama ada daripada wakil rakyat mahupun penyokong pihak berbeza," kata Romzi kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Romzi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Khidmat Komuniti serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS menambah, isu pergolakan membawa kepada acara 'lompat katak' dan akhirnya pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

"Pembubaran DUN bukanlah sesuatu yang diinginkan rakyat dalam situasi Covid-19 masih menyerang, namun ia dilihat perlu untuk memastikan kerajaan dipilih adalah stabil dan fokus kepada pembangunan negeri.

"Peluang ini harus digunakan oleh semua pihak untuk memperbaiki diri dan tidak lagi hanya pandai menanam tebu di tepi bibir, wajib 'walk the talk' jika hendak mengelak daripada dihukum oleh rakyat," katanya.

Tegas Romzi, wakil rakyat yang tidak berintegriti wajar dihukum dengan tidak mengundi mereka bagi memastikan kerajaan dapat melaksanakan pembangunan tanpa gangguan.

Ditanya adakah PRN Sabah bakal mempunyai sebarang impak terhadap kerajaan Persekutuan, Romzi berkata, PRN Sabah menyebabkan lebih ramai ahli Parlimen menjadi vokal terhadap prestasi Perdana Menteri dan barisan Kabinet.

"Tambahan pula, UMNO telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menyertai Pakatan Nasional (PN). Ini petanda sokongan dan pemberontakan terhadap Perdana Menteri sudah bermula.

"Jika Warisan menang maka ahli Parlimennya akan lebih bersuara di Dewan Rakyat sekali gus membawa kepada pembubaran Dewan Rakyat," katanya yang turut bersetuju dengan kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Romzi turut berpendapat meskipun PRN memerlukan dana yang besar, namun ia perlu diadakan demi mengelak konflik berterusan yang menyebabkan kerajaan sukar memberi fokus kepada pembangunan negeri.

"Sukar untuk menarik pelabur luar sekiranya kerajaan tidak stabil. Kos PRN adalah lebih kecil berbanding kos ketidakstabilan politik yang berpanjangan," katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berpendapat pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN adalah tidak perlu selain membazir masa dan wang serta membahayakan nyawa rakyat ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Romzi berpandangan, situasi terkini politik di Sabah tidak akan mempengaruhi Sarawak untuk melakukan pembubaran DUN dan PRN kerana dilihat masih mempunyai kestabilan.

Turut berkongsi pendapat berhubung situasi semasa politik Sabah, Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Asri Mohd Ali yang mengakui landskap politik Sabah tidak asing daripada krisis.

"Pada saya, keputusan untuk membubarkan DUN Sabah amat tepat kerana proses angkat sumpah Ketua Menteri telah berlaku sebanyak dua kali selepas PRU14," kata Muhammad Asri ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Muhammad Asri yang juga Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, sekiranya dilakukan sekali lagi, kestabilan tidak dapat dicapai memandangkan Musa dan Mohd Shafie mempunyai penyokong yang hampir sama banyak.

"PRN bagi mendapatkan semula mandat adalah pilihan terbaik," tegas beliau.

Kejar untung, elak rugi

Ditanya apa signifikan PRN Sabah terhadap kestabilan politik negeri di bawah bayu itu dan seterusnya politik negara, Muhammad Asri berkata, ahli-ahli politik Sabah seolah-olah mengamalkan falsafah ‘kejar untung, elak rugi’.

"Parti mana yang berkuasa di peringkat pusat biasanya akan diikuti oleh ahli politik. Melihat situasi semasa, PN seakan-akan mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRN diadakan.

"Sekiranya Warisan dan komponen Pakatan Harapan menang, suasana lompat parti seperti yang terjadi seperti sebelum ini akan berulang," kata beliau sambil menambah pengundi akan menilai dan akan turut sama menyokong parti yang berada dalam satu kem dengan parti berkuasa di peringkat pusat.

"Kepada Putrajaya, PRN ini akan menguji sejauh mana sokongan terhadap mereka sebelum PRU15 diadakan kelak. Keputusan PRN ini amat penting kepada Putrajaya untuk meyakinkan mereka berhadapan dengan blok PH," katanya lagi.

Diajukan persoalan adakah PRN Sabah mempunyai sebarang kesan terhadap kerajaan Persekutuan, dan adakah ia akan mempengaruhi kerajaan Pusat untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat, Muhammad Asri mengakui sememangnya terdapat kesan kepada Putrajaya.

"Tiada banyak perbezaan antara kerajaan PN dan Warisan, kedua-dua parti polotik terbabit ditubuhkan selepas berlaku aksi lompat parti. Dengan perbezaan kerusi yang amat tipis, kerajaan PN boleh menjadi tidak stabil apabila seorang atau lebih ahli Parlimen melompat ke blok PH.

"Memandangkan kita berdepan isu pemulihan ekonomi berikutan pandemik Covid-19, kerajaan yang memiliki mandat besar daripada rakyat amat diperlukan untuk menyediakan pelan jangka pertengahan dan jangka pangjang untuk pemulihan ekonomi pasca Covid-19," tegasnya.

Menurut beliau, situasi sekarang tidak memberangsangkan kerana Perdana Menteri dilihat tidak mempunyai parti yang kuat dan kedudukan beliau sebagai 'lame duck'.

"Pelabur tidak yakin dan kakitangan kerajaan tidak bermotivasi. Kita perlu kerajaan yang boleh memerintah, bukan kerajaan yang sentiasa risau akan hilang kuasa kerana ada parti-parti komponen yang sentiasa mendesak dan menekan dengan pelbagai tuntutan politik.

"Pada saya, PRU15 perlu diadakan segera. Kita sedar ancaman Covid-19 masih wujud namun perkara itu boleh diatasi," katanya sambil menambah, beberapa negara termasuk Singapura baru sahaja melaksanakan PRU.

Menurutnya lagi, adalah tidak mengejutkan sekiranya Sarawak meminta mengadakan PRN lebih awal seperti Sabah berikutan mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir tidak lama lagi iaitu pada 7 September 2021.

Musa sebelum ini tampil dengan bukti 32 ADUN menyokongnya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru, namun tindakan mereka mahu menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah telah dihalang.

Pada PRN nanti, sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.