Henti bazir wang, kerajaan perlu lanjutkan moratorium

Iklan
Lim Guan Eng

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa menghentikan segera pembaziran wang untuk rampasan kuasa menjatuhkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH), sebaliknya melanjutkan moratorium pinjaman bagi tempoh enam bulan lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya memberi perhatian kepada pelebaran bantuan kewangan kepada peniaga kecil demi menyelamatkan perniagaan mereka daripada muflis dan pekerja diberhentikan.

Iklan
Iklan

"DAP berasa amat kecewa dengan keengganan Kerajaan PN untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi yang akan tamat pada 30 September ini, meskipun langkah tersebut akan membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Tiada sebarang sebab diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengapa kerajaan tidak melanjutkan moratorium tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, kedegilan dan keengganan kerajaan berhubung perkara itu amat dikesali kerana kos terlibat adalah kecil berbanding manfaat yang akan diperoleh.

Katanya, pihak bank dilaporkan mengalami kerugian RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium tersebut, namun ia adalah pengorbanan kecil industri perbankan memandangkan industri tersebut mendapat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada tahun 2019.

Iklan

"Keuntungan selepas cukai RM32 bilion itu sepatutnya membolehkan pihak bank membiayai kos RM6.4 bilion sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank bagi tempoh enam bulan lagi bagi membantu pelanggan mereka mengharungi krisis ekonomi Covid-19.

"Jika pihak bank tidak rela membiayai kos RM6.4 bilion tersebut, Kerajaan Persekutuan patut menanggung kos RM6.4 bilion demi membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 PKS,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu turut menyifatkan kos sebanyak RM6.4 bilion sebenarnya adalah satu jumlah yang kecil berbanding puluhan bilion ringgit pinjaman tambahan oleh kerajaan di atas apa yang sudah pun diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Katanya, kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan menyebabkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) bernilai RM295 bilion dilihat sekadar indah khabar dari rupa kerana hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja dan bukan kepada rakyat biasa dan PKS.

"Malah tiada sebarang penambahan diberikan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) RM2.1 bilion apabila RM3,000 diberikan kepada 700,000 PKS.

"Tapi, sekurang-kurangnya 155,000 PKS Mikro yang berkelayakan gagal memohon GKP dalam tempoh yang diperuntukkan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya menambah RM1 bilion lagi untuk GKP,” ujarnya.

Guan Eng berkata, program Subsidi Upah juga tidak dilanjutkan sehingga Mac 2021 bagi membantu pekerja Malaysia.

"Dengan peningkatan mendadak kadar pengangguran sehingga 5.3 peratus apabila 830,000 pekerja menganggur, maka pelanjutan program ini perlu dilaksanakan segera untuk menyelamatkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

"Kerajaan patut membantu mengekalkan pekerjaan rakyat dan bukan hanya membantu selepas mereka kehilangan kerja," katanya.