Selesai luar mahkamah satu langkah tepat, kata Mohamad

Iklan
Mohamad Hasan (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion yang telah dicapai antara Malaysia dengan syarikat Goldman Sachs.)

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan keputusan dibuat oleh Peguam Negara dalam menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Goldman Sachs di luar mahkamah adalah satu langkah tepat.

Menurutnya, Menteri Kewangan telah memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mencapai satu persetujuan dengan Goldman Sachs yang secara keseluruhannya akan menyaksikan wang dalam anggaran AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.

Iklan
Iklan

"Pengumuman ini sangat dialu-alukan dan membuktikan bahawa kepentingan negara dalam menyelesaikan skandal 1MDB terus menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional.

"Penyelesaian luar mahkamah ini juga berupaya menjimatkan kos, masa dan tenaga semua pihak terutama apabila negara sangat memerlukan dana dalam menampani kegawatan ekonomi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, usaha tersebut mesti digiatkan lagi kerana masih banyak lagi dana negara yang mesti dikembalikan kepada perbendaharaan negara.

Iklan

"Kita mengucapkan syabas kepada Menteri Kewangan dan Peguam Negara serta semua pegawai kerajaan yang terlibat dalam ikhtiar mengembalikan semula dana negara yang hilang.

"Semoga segala usaha kerajaan dalam perkara ini terus mendapat kerjasama antarabangsa dan berjaya sepenuhnya,” katanya.

Pada 24 Julai lalu media melaporkan, Goldman Sachs Group Inc. bersetuju untuk membayar sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk syarikat 1MDB.