Tumpu pembangunan semula bangunan lama PPR

Iklan
Khalid Abdul Samad

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan projek pembangunan semula bandar dengan menumpukan bangunan-bangunan lama projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pembangunan semula berkenaan akan membabitkan flat berketinggian lima tingkat yang akan diberi secara percuma kepada pemilik lama.

Iklan
Iklan

"Tanah-tanah di PPR lama ini akan digunakan secara optimum iaitu bakal dibangunkan semula dengan bangunan pangsapuri mampu milik lebih tinggi dan banyak serta lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan program sambutan Hari Wilayah 2019 di sini hari ini.

Menurutnya, ia akan dilaksanakan sebagaimana projek yang dilakukan di Bandar Tun Razak membabitkan bangunan lima tingkat seperti Sri Labuan bersaiz 400 kaki persegi yang diganti dengan rumah mampu milik secara percuma kepada pemilik lama.

Iklan

Khalid berkata, bangunan flat lama yang mempunyai sebilik atau dua bilik tidak lagi sesuai untuk didiami sesebuah keluarga pada masa kini.

"Kita mahu hidupkan semula kawasan-kawasan ini dan kita tidak mahu PPR lama ini dikenali sebagai kawasan sesak," katanya.

Iklan

Beliau berkata, lokasi pembangunan semula tersebut sedang dikenal pasti dan akan diumumkan kelak.

Mengenai isu nama kawasan Bangsar South dan Kerinchi, beliau berkata terdapat salah faham dalam kalangan sesetengah pihak berkenaan nama kawasan itu.

"Bangsar South adalah nama yang diberi untuk pembangunan kawasan tersebut yang terletak di Kerinchi," katanya. - Bernama