'Jangan kerana desakan hidup, sanggup bagi makan anak duit haram'
Iklan
KUALA TERENGGANU -"Jenayah salah guna kuasa melibatkan penjawat awam dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Jangan kerana desakan hidup, kamu sanggup bagi anak-anak makan duit yang haram. Jangan ulangi kesalahan sama dan bertaubatlah atas apa yang kamu lakukan."
Itu nasihat seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini ketika prosiding hukuman terhadap seorang penolong kanan pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung pertuduhan salah guna kuasa, hari ini.
Hakim, Jamaludin Mat menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 terhadap tertuduh, Fazrul En Hassan, 41, selepas didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa membabitkan kerja-kerja pembekalan kerusi dan meja simen berjumlah RM17,920.