Usah cetuskan sentimen perkauman dalam isu UEC

Iklan
Mohd Ashraf Mustaqim

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menempelak segelintir pihak yang cuba menimbulkan sentimen 'perkauman' berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) susulan pertemuan pihak Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Exco Pendidikan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, berdasarkan kenyataan dari laman rasmi Facebook, Muhyiddin menjelaskan pertemuan itu bagi membincangkan pelbagai perkara merangkumi hal ekonomi, budaya dan pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sudah menjadi kemestian selaku Perdana Menteri untuk mendengar serta membuka ruang perbincangan demi mencapai tekad integrasi nasional dan bukanlah menjadi satu kesalahan.

"Dalam kenyataan itu Muhyiddin tidak menyatakan mengenai pengiktirafan UEC secara menyeluruh seperti yang cuba dimainkan pihak pembangkang.

Iklan

"Malah keterangan yang kononnya Perdana Menteri secara peribadi berharap kerajaan akan mengiktiraf UEC sebagaimana dilaporkan pihak media hanyalah suatu dakwaan yang ditimbulkan pihak Huazong dan dilaporkan media,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan Huazong mendakwa bahawa Muhyiddin secara peribadi berharap kerajaan dapat mengiktirafkan UEC.

Iklan

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Huazong itu semalam, Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan untuk berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.

Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta semua pihak agar memahami dasar dan keadaan dalam negara selain mencadangkan agar kedua-dua pihak dapat menggunakan dasar-dasar negara serta keadaan semasa sebagai asas untuk rundingan lanjut dalam menghasilkan penyelesaian secara menang-menang untuk semua pihak.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim mengambil isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai contoh berkata, Muhyiddin yang secara jelas dan faham mengenai isu terbabit berani memansuhkannya.

Katanya, Muhyiddin sebelum ini berkali-kali mengingatkan bahawa isu UEC perlu di selesaikan dengan baik demi mencapai matlamat penyatuan anak bangsa Malaysia dalam garapan yang berpegang teguh pada tekad Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau perlu melayan dan mendengar permintaan rakyat yang berbilang kaum namun kita perlu serahkan kepada kebijaksanaan beliau yang secara jelas berpegang kepada 'dasar' negara.

"Jadi dengan penjelasan ini, diharap tidak ada pihak yang mencuba menuba racun untuk memudaratkan lagi kestabilan negara demi kepentingan politik,” katanya.