Wanita kebanggaan rakyat Malaysia

Iklan

TAHNIAH Merak Jalanan ucapkan kepada wanita Malaysia. Ternyata pada zaman milenium ini, wanita Malaysia terus melakar sejarah dan memahat nama di pentas global.

Minggu lalu, kita pasti berbangga apabila saintis Malaysia, Dr Masliza Mahmod menjadi wanita pertama yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom.

Iklan
Iklan

Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu banyak menjalankan penyelidikan berkaitan jantung di United Kingdom.

Antaranya penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular dan teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung.

Iklan

Kehebatan Masliza turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan tahniah.

Tidak ketinggalan berita gembira itu turut dikongsi lelaki paling popular di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Iklan

Dalam pada itu, rekod kejayaan kaum Hawa Malaysia terus dilakar lagi minggu ini di Dewan Rakyat.

Selepas hampir 63 tahun merdeka, kelmarin akhirnya buat pertama kali wanita berjaya memecah tembok Speaker Parlimen Malaysia yang selama ini didominasi kaum lelaki.

Di sebalik ribut dan kecoh politik negara, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mendapat kepercayaan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Walaupun pelantikan Speaker baharu menimbulkan kontroversi panas kelmarin, tetapi mungkin kehadiran wanita di kerusi Speaker boleh menyejukkan sedikit suasana dewan yang kerap kali panas.

Yang pasti, wanita Malaysia saban tahun terus mencatat sejarah tersendiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara sehinggalah penyelidik ternama di universiti terbaik dunia.