Suspek kes samun, tetak warga Pakistan ditahan

Iklan
Mangsa menerima 11 jahitan di kepala selepas ditetak dalam kejadian samun di sebuah kedai perabot di Bandar Tenggara, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI - Suspek kes samun dan tetak seorang lelaki warga Pakistan di kedai perabot di Bandar Tenggara dekat sini semalam, berjaya ditahan polis.

Suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang di tepi Jalan Kenanga, Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara selepas satu jam melarikan diri setelah melakukan jenayah tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, sebelum itu suspek menetak mangsa dengan menggunakan parang di kepala semasa berada di kedai perabot tersebut hingga cedera parah.

"Suspek mengambil kesempatan keadaan mangsa yang dalam kesakitan itu dengan mencuri RM300 dari laci di bahagian kaunter sebelum melarikan diri.

Iklan

"Mangsa kemudian dihantar ke klinik swasta di Bandar Tenggara untuk rawatan kecemasan.

"Mangsa menerima 11 jahitan di kepala akibat tetakan tersebut dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Katanya, usaha memburu suspek berjaya hasil pengecaman mangsa sebelum menahannya dan merampas sebuah motosikal serta sebilah parang yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Julai ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat," katanya.