Perkep Johor boleh jadi pasukan sokongan polis

Iklan
Mohd Khalil (dua, kanan) bersama Radziah ketika merasmikan Rumah Perkep Kontinjen Johor, hari ini.
JOHOR BAHRU - Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor perlu bertindak sebagai entiti baharu bagi membantu perkasa nilai kemasyarakatan dalam anggota keselamatan tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya juga berbesar hati jika jawatankuasa itu mahu melibatkan diri dalam kerja amal dan kebajikan apabila berlaku krisis tidak diingini di negeri ini.

"Dalam Perkep, kita mahu ada satu nilai tambahan diterapkan, kalau kita balik semula pada peristiwa Bukit Kepong, isteri-isteri polis ini bertindak membantu polis.

"Jika ada sebarang permasalahan atau krisis, Perkep boleh datang sebagai pasukan sokongan untuk bantu kita dari belakang mungkin dari segi pengurusan atau apa juga tugasan melibatkan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Rumah Perkep Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Pengerusi Perkep Johor, Datin Radziah Zakaria.

Menurutnya, pihaknya juga mahu Perkep bergerak lebih aktif serta menyediakan platform terbaik untuk warga PDRM negeri dapat beriadah dan terlibat aktiviti sihat.

"Sedia maklum tugasan sebagai seorang polis menyaksikan komitmen yang penuh dan ada kalanya ia lebih daripada masa bersama keluarga.

"Jadi kita mahu Perkep boleh datang dengan sesuatu baharu supaya ada peluang habiskan masa berkualiti mungkin bersama rakan setugas dan keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, Rumah Perkep Kontinjen Johor adalah aset yang boleh membantu isteri polis melestarikan aktiviti tanpa batasan dan lebih bersifat kekeluargaan.

"Rumah Perkep ini asalnya Pejabat Cawangan Penjawatan, Jabatan Pengurusan Johor yang terdapat beberapa ruang selesa termasuk ruang tetamu, dapur dan sebagainya,” katanya.