Tergamak buang mayat bayi dalam salur najis!

Iklan
Bomba berjaya mengeluarkan mayat bayi lelaki itu selepas dipercayai dibuang oleh salah seorang suspek di sebuah rumah di Kandang.

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki tergamak membuang mayat bayi di dalam saluran najis di rumahnya di Kandang di sini yang dipercayai hasil hubungan sulit dengan teman wanitanya.

Tindakan itu dilakukan untuk menyembunyikan bayi lelaki yang dipercayai meninggal dunia ketika dilahirkan di sebuah rumah sewa di Taman Perkota Bukit Baru.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung seorang operator kilang berusia 23 tahun telah melahirkan bayi selepas mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan yang dibelinya secara dalam talian.

Menurutnya, wanita beralamat di Sungai Rambai itu kemudiannya menyerahkan mayat bayi dianggarkan berusia lima hingga tujuh bulan dalam kandungan itu kepada teman lelaki berusia 25 tahun yang juga seorang operator kilang.

Iklan

"Sehubungan itu, sepasang kekasih ditahan dan siasatan awal mendapati suspek wanita terbabit telah melahirkan anak tidak sah taraf hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

"Bagaimanapun wanita itu tidak mengetahui sama ada teman lelakinya telah menanamkan atau membakar bayi mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan
Mayat bayi malang itu tersangkut dalam lubang najis sebuah rumah di Kampung Kandang, sebelum berjaya dikeluarkan pihak Bomba dan Penyelamat petang tadi.

Menurutnya, suspek lelaki juga mengaku telah menerima mayat bayi berbalut plastik dan dipercayai telah membuang mayat bayi dalam salur najis di rumahnya di Kandang.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian selain permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat esok di Mahkamah Ayer Keroh.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu, Pegawai Bomba Kanan 11, Jamian Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.43 petang berhubung khidmat khas bantuan mengeluarkan mayat bayi berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sepasukan 14 pegawai dan anggota melakukan kerja-kerja menyedut air kumbahan di sebuah lubang najis sedalam tujuh kaki dan kemudian menemui beberapa bahagian anggota badan mayat bayi malang berkenaan yang tersangkut di penapis hos air bomba.

"Kita mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengenal pasti cebisan anggota badan sebelum bahagian yang ditemui diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.