Jenazah Subky Abdul Latif selamat dikebumikan

Iklan
Para jemaah menunaikan solat jenazah bagi Pengerusi Veteran Pas dan Pengasas Harakah Allahyarham Ahmad Subki Abdul Latif di Masjid Bilal Bin Rabbah hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jenazah Pengerusi Veteran Pas, Subky Abdul Latif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dekat sini kira-kira jam 6.00 petang.

Allahyarham Subky atau nama sebenarnya Ahmad Subki Abdul Latif, 80, yang juga pengasas akhbar rasmi Pas, Harakah, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak jam 11.05 pagi ini akibat pre-leukimia myelodyplastic syndrome (MDS) iaitu sejenis penyakit berkaitan darah.

Iklan
Iklan

Jenazah Subky, tiba di Masjid Bilal Bin Rabbah di Taman Koperasi Polis Fasa 1 di sini pada jam 2.43 petang untuk pengurusan jenazah serta disembahyangkan.

Jenazah disolatkan kira-kira jam 5.10 petang yang diimamkan anak lelaki Allahyarham, Abdul Latif Rahbar Ahmad Subki dan disertai kira-kira 100 jemaah, terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat Allahyarham.

Iklan

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut, membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat jenazah dengan jarak sosial antara jemaah.

Turut hadir menunaikan solat jenazah, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Timbalan Presiden Pas.

Iklan

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan itu yang terletak di Taman Selasih, Batu Caves dan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berada di kawasan perkuburan bagi urusan pengebumian.

Allahyarham Subky meninggalkan seorang isteri, Naznah Taha, lima anak dan 12 cucu.

Sebelum ini, beliau dilaporkan dimasukkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan, Pahang akibat darah merah rendah, jangkitan paru-paru dan masalah jantung, awal Jun lepas.

Allahyarham adalah bekas wartawan menjadi pengasas Harakah pada 1978 dan kolumnis tetap ruangan 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam akhbar itu.- Bernama